Bandar Syurga China

Kecantikan gadis dan kesempurnaan sutera di Hangzhou, ibu negeri wilayah Zhejiang dikisahkan pernah menjadi kegemaran maharaja pada zaman lampau dan hingga kini, kisah itu menjadi kebanggaan penduduk tempatan.

Malah dikatakan kerana dua faktor ini menyebabkan maharaja mengarahkan pembinaan Terusan Utama Beijing-Hangzhou, yang kini diiktiraf sebagai terusan buatan manusia terpanjang di dunia.

Berkulit putih halus dengan tubuh kecil molek dan gebu serta mempunyai anak mata hitam pekat adalah antara ciri gadis tempatan di bandaraya yang mempunyai sejarah lebih 7,000 tahun.

Dikatakan maharaja bukan saja terpesona dengan kecantikan mereka, tetapi tingkah laku lemah-lembut, mewakili gaya hidup bahagian timur negara itu yang tidak terdapat di tempat lain.

Dari segi penghasilan sutera, Hangzou dikatakan mengeluarkan sutera paling berkualiti di China kerana kelebihan cuaca serta bentuk muka bumi yang sesuai untuk industri itu.

Hangzhou turut menjadi tarikan disebabkan keindahan panorama hijau yang diterjemahkan dalam landskap taman tasik tradisional hingga dinamakan antara 10 lokasi paling cantik di China.

Kesempatan melawat bandaraya yang mendapat jolokan `Bandar Syurga China' bersama kru Majalah Tiga dan wakil media lain yang dibawa khas syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, Air Asia X, baru-baru ini mengizinkan penulis menyaksikan sendiri kebenaran kisah silam ini.

Benar seperti digambarkan, kebanyakan wanita Hangzhou memang cantik dan menarik, manakala kualiti sutera adalah antara yang terbaik di dunia.

Bagaimanapun bukan wanita dan sutera yang menarik hati. Penulis lebih terpikat kepada keindahan landskap taman serta pelbagai warisan sejarah yang terpelihara rapi di bandaraya yang diiktiraf sebagai Bandar Pelancongan Terbaik China 2007.

Bercerita mengenai taman, pastinya West Lake yang mempunyai keluasan kira-kira enam kilometer persegi dan menjadi lokasi wajib dilawati di Hangzhou menjadi tumpuan utama.

West Lake dikelilingi bukit-bukau dalam tiga arah dan bersambung dengan bandar kecil di sebalik bukit berkenaan yang dilalui Sungai Qiantang, yang secara tidak langsung membentuk landskap unik - tasik, bukit-bukau, bandar dan sungai yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Tasik yang terkenal dengan keindahan memukau ini turut menempatkan beberapa tapak sejarah dan kebudayaan penting China. Antara lokasi yang sering dipenuhi pelancong ialah Enam Pagoda Harmoni, Solitary Hill, Kuil Ling Yin serta Makam Jeneral Yui Fei, iaitu panglima tentera terkenal Dinasti Song Timur.

Selain itu, bangunan warisan silam serta batu berukir yang mempunyai nilai artistik dan sejarah tersendiri yang menjadi warisan berharga negara itu terdapat di West Lake.

Difahamkan terdapat puluhan tasik di China, malah di seluruh dunia dikenali dengan nama West Lake, tetapi selalunya nama itu dikatakan merujuk kepada West Lake di Hangzhou.

Perkampungan Teh Mei Jiawu yang mempunyai sejarah lebih 600 tahun yang terletak di bahagian barat West Lake juga mempunyai tarikan tersendiri. Kedudukan di lembah dengan pokok teh di atas bukit yang mengelilinginya menghasilkan pemandangan sangat memukau.

Keistimewaan perkampungan ini ialah ia menghasilkan teh hijau terbaik di dunia dikenali dengan nama West Lake Dragon Well. Petani di sini mengekalkan kaedah pemprosesan teh tradisional diwarisi nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu.

Puas menghirup teh hijau, destinasi menarik lain ialah perkampungan air dikenali sebagai Wuzhen Dongzha Scenic Zone. Terdapat kira-kira 300 rumah tradisional dibina di tepi Sungai DongShi yang bersambung dengan Terusan Utama Beijing-Hangzhou.

Menariknya perkampungan ini ialah ia kelihatan terapung dengan sebahagian tiang asasnya berada dalam sungai. Pengunjung boleh menikmati pemandangan unik perkampungan ini menaiki sampan tradisional China.

Kunjungan ke Hangzhou sememangnya berbaloi kerana selain tempatnya yang menarik, kedudukannya yang berhampiran bandaraya Shanghai, membolehkan pelancong menjadikannya transit sebelum ke bandaraya itu yang hanya mengambil masa satu jam perjalanan kereta api peluru atau tiga jam dengan bas.

Tidak seperti ribuan tahun lalu, kini mereka yang ingin ke Hangzhou tidak perlu bersusah payah melalui terusan, sebaliknya hanya perlu menaiki penerbangan domestik terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan, Hangzhou atau Air Asia X jika dari Malaysia.

INFO

Keistimewaan Hangzhou



Marco Polo yang datang ke Hangzhou pada abad ke-13 menyifatkan bandaraya itu sebagai bandar raya paling cantik di dunia serta mendapat jolokan 'Bandar Syurga China'.


Ibu negeri wilayah Zhejiang terletak di selatan Sungai Yangtze di pantai timur China.


Mempunyai keistimewaan dari segi landskap dan seni bina tradisional yang dipelihara dengan baik.


West Lake mempunyai keindahan yang boleh disaksikan dari 10 sudut menarik yang dinamakan mengikut puisi Cina.

Bagaimana ke sana?


Air Asia X membuat lima penerbangan seminggu dari terminal tambang murah (LCCT) Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan, Hangzhou.


Pengunjung boleh menjadikan Hangzhou sebagai transit untuk ke Shanghai jika inginkan penerbangan dengan kos lebih murah menggunakan Air Asia X.


Terdapat dua cara ke Shanghai dari Hangzhou, iaitu menggunakan bas yang mengambil masa tiga jam atau kereta api peluru yang mengambil masa satu jam.


Pengunjung boleh membuat tempahan perjalanan menggunakan agensi pelancongan melalui pakej Air Asia X dengan melayari laman web Air Asia, www.airasia.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url