Ke mana dasar luar Obama?
Pemilihan Barack Obama yang berketurunan kulit hitam dari Parti Demokrat, biar pun bukan di luar jangkaan namun menarik perhatian terutamanya mengambil kira masa depan dunia yang amat berkait rapat dengan kerusi Presiden AS.
Tiada siapa boleh menidakkan peranan AS dan sekutunya dalam mencaturkan agenda politik, ketenteraan, ekonomi dan sosial dunia, justeru siapa dan jenis apakah pemimpin yang menerajui kuasa besar itu sememangnya amat penting.
Sebab itu apabila Obama muncul sebagai calon Demokrat untuk menyaingi calon-calon popular lain dalam pilihan raya Presiden kali ini, bukan sahaja warga AS yang teruja malah dunia juga tidak sabar untuk melihat hasilnya.
Apatah lagi apabila mengimbau dasar-dasar luar yang dijanjikan oleh Obama sepanjang berlangsungnya kempen selama dua tahun setengah, dunia terutama negara-negara yang terlibat dalam kancah konflik ternyata menaruh harapan yang tinggi terhadap Presiden baru AS itu.
Dalam misi serta wawasan yang dibawa sepanjang berkempen, Obama tidak terkecuali menguar-uarkan polisi yang akan dilaksanakan di Afghanistan, Cuba, Iran, Iraq, Korea Utara dan Sudan selain menyatakan pendirian berhubung pusat tahanan di Guantanamo Bay.
Begitu juga dengan agenda memerangi keganasan yang akan diteruskan oleh peguam lulusan Harvard itu, terutamanya di wilayah sempadan Afghanistan dan Pakistan yang membawa kepada janji-janji beliau untuk menambah bilangan tentera AS daripada 7,000 orang 32,000 anggota.
Apabila menyentuh tentang Iran, biar pun Obama masih belum menegaskan pendirian sama ada akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Mahmoud Ahmadinejad atau sebaliknya, namun beliau yakin hubungan diplomasi secara terus dengan pemimpin negara tersebut diperlukan.
Manakala berurusan dengan Korea Utara, Obama cuba lari daripada polisi yang telah dilaksanakan oleh Bush semasa penggal pertama pentadbirannya sambil menyatakan kesediaannya untuk meneruskan perbincangan dengan negara berkenaan.
Beliau juga melihat kepada perlunya kerjasama di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan program senjata nuklear yang dianjurkan oleh negara tersebut.
Tanpa mengehadkan kepada negara-negara berkonflik, wawasan Obama turut menyentuh perihal pusat tahanan Guantanamo yang menimbulkan kecaman dunia di sebalik moto AS sebagai juara hak asasi manusia.
Keadilan
Obama percaya pusat tahan tersebut mesti ditutup dan tahanan dibenarkan untuk mencabar kesahihan penahanan masing-masing. Corak pentadbiran Bush menjadi kritikan Obama kerana gagal membangunkan sistem keadilan ketenteraan untuk memastikan mereka yang ditahan adalah benar-benar disyaki terlibat dalam keganasan dan bukannya dibuat tanpa usul periksa.
Dalam mengalu-alukan pemilihan Obama, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso mengharapkan kehadiran sinaran baru itu juga akan membawa kepada tamatnya krisis kewangan yang melanda dunia sekarang.
Beliau melihat inilah masanya untuk memperbaharui komitmen antara Eropah dan AS. Kedua-dua benua perlu mengubah krisis yang berlaku sekarang kepada mewujudkan peluang baru sejajar dengan keperluan untuk melihat wajah baru dunia.
Obama dalam ucapan kemenangannya berjanji akan membawa perubahan kepada AS selepas menjadi rakyat Amerika berketurunan Afrika pertama dilantik sebagai Presiden.
Di sebalik janji-janji Obama untuk menarik keluar tentera AS di Iraq, Menteri Luar, Hoshyar Zebari yakin pemilihan beliau tidak akan membawa kepada perubahan segera dasar kuasa besar itu di Iraq.
Sambil menghormati dan mempercayai pemilihan Obama adalah pilihan serta kemahuan rakyat AS, Hoshyar yakin polisi AS di Iraq tidak akan berubah sekelip mata kerana banyak cabaran yang perlu ditangani.
Bagaimanapun beliau meletakkan harapan untuk menjalinkan kerjasama yang bermakna dengan Obama.
Analisis menunjukkan harapan dunia kepada Obama selepas tarikh 20 Januari 2009 amat tinggi. Beliau diharap akan bekerja keras untuk mengakhiri peperangan dan konfrantasi yang dicetuskan oleh Bush.
Turut menjadi perhatian ialah tumpuan Obama untuk menyelesaikan krisis ekonomi global, memulihara proses perdamaian di Asia Barat, mengatasi masalah pemanasan global dan mengawasi kemunculan pemberontakan di Rusia.
Kesemuanya itu sejajar dengan tiga matlamat utama yang ditonjolkan di laman webnya iaitu "Merampas bahan-bahan nuklear daripada pengganas;" "meneruskan diplomasi tegas tanpa syarat untuk menghentikan ancaman Iran" dan "memperbaharui diplomasi Amerika."
Polisi yang dicadangkan Obama di Iran ialah memberi penekanan kepada perbincangan serta insentif untuk menghentikan program nuklear.
Bagaimanapun usaha tersebut tidak mudah kerana di mata penganalisis politik dunia, Iran menghadiahkan satu set masalah yang amat kompleks.
Menentang peperangan ke atas Iraq yang diketuai oleh AS sejak di peringkat awal lagi, Obama mahukan pengunduran tentera secara berperingkat dan bertanggungjawab dari Iraq.
Bagaimanapun komander tentera AS memberi amaran bahawa manfaat tindakan tersebut dari sudut politik dan ketenteraan amat 'lemah'.
Matlamat
Pemimpin Demokrat yang berusia 47 tahun itu menyasarkan matlamat untuk mengundurkan semua briged tentera dari Iraq menjelang musim panas tahun 2010.
Beliau merumuskan penaklukan Iraq oleh AS mengalih tumpuan terhadap Afghanistan, yang disifatkannya sebagai kubu utama dalam peperangan menentang keganasan kerana Al-Qaeda menggunakan negara tersebut sebagai tapak untuk melancarkan serangan 11 September 2001.
Aliran polisi Obama menyaksikan sedikit perbezaan termasuk apabila beliau menggesa supaya jumlah tentera AS di Afghanistan ditingkatkan untuk membendung pemberontakan oleh puak Taliban dan Al-Qaeda.
Obama turut menyokong saranan komander tentera AS agar Washington membuat persediaan untuk mengadakan perbincangan dengan musuh-musuhnya termasuk Taliban di Afghanistan.
Presiden baru AS itu juga berjanji akan berbincang dengan lebih ramai sekutu AS berbanding di era pentadbiran Bush dalam membincangkan isu-isu antarabangsa.
Apa pun juga pembaharuan dasar luar yang dijanjikan oleh AS, ia masih belum dapat meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa dunia akan melepasi zaman konfliknya.
Ini kerana AS pasti akan menjaga hati sekutu-sekutunya termasuk Israel dalam merencana wajah baru dunia. Tugas Obama tidak mudah, malah ada pihak yang berpendapat tidak mustahil Obama akan membiarkan negara-negara yang telah dimusnahkan oleh AS dalam keadaan terkontang-kanting.
Keutamaan Obama masih kabur. Dunia terutama negara-negara berkonflik, kecil dan miskin tidak boleh bergantung harapan kepada Obama kerana negara yang diwakilinya masih Amerika Syarikat.