Kisah hijrah Mikaeel
Selebriti berusia 50 tahun ini popular dalam usia semuda 11 tahun sebagai seorang ahli kumpulan The Jackson 5 dan memulakan karier secara solo pada 1971.
Kejayaannya dalam bidang nyanyian dikatakan mempunyai impak yang besar dalam muzik dan budaya seluruh dunia. Muziknya merentas sempadan geografi amnya, membawa satu bentuk transformasi seni di Amerika khasnya. Anugerah pada peringkat dunia, termasuk Anugerah Muzik Dunia sebagai artis lelaki dengan penjualan album tertinggi, disenaraikan dalam Guinness World Records bukan hanya kerana pencapaian dalam bidang nyanyian, tetapi juga kerana memberi sumbangan kepada lebih 39 buah organisasi yang memerlukan di dunia, 13 Anugerah Grammy dan penjualan album melebihi 750 juta unit di seluruh dunia.
Kejayaannya meletakkan dia sebagai seorang manusia paling popular di dunia. Namun, dalam masa sama Raja Pop ini juga tidak lekang daripada kontroversi yang kurang enak. Daripada isu perbuatan songsang dengan kanak-kanak lelaki, isu muflis dan mengubah wajah melalui pembedahan plastik.
Bermula dengan memancungkan hidung dan membentuk alis matanya, transformasi wajah dan kulit Mikaeel didebat serata dunia. Ada yang mengatakan dia mula menjadi ketagih kepada membentuk semula wajahnya, seperti yang dia mahukan dan tiada kaitan dengan penyakit yang dikaitkannya dengannya, iaitu 'vitiligo' dan 'lupus'' iaitu sejenis penyakit kulit kronik yang didiagnos pada 1984.
Dia pernah dituduh sehingga empat pertuduhan berkaitan seks dengan kanak-kanak lelaki, namun pada 2005 dia bebas terhadap semua pertuduhan.
Bercakap soal yang menarik tentang Mikaeel ini pastinya berita dia memeluk Islam. Desas-desus ini sebenarnya sudah lama didengar. Sejak 2003 lagi mula kedengaran minat Mikaeel dengan Islam.
Abang Mikaeel, Jermain yang juga memeluk Islam pernah menyatakan dalam media kebarangkalian Mikaeel untuk memeluk Islam pada 2007. Malah, pernah dilaporkan pada 2005, Mikaeel memutuskan untuk masuk Islam. Jermain menjelaskan yang Mikaeel mula membaca berkaitan Islam dan memahami keindahan Islam sejak itu.
Hari ini, segala desas-desus ini menemui jawapan. Mikaeel mengucap syahadah di hadapan seorang iman dalam satu majlis di rumah rakannya di Los Angeles. Rakannya yang juga komposer yang menganut Islam, iaitu Dawud Wharnsby Ali dan Idris Phillips sudah berbincang berkaitan Islam dengan Mikaeel mengenai bagaimana mereka menjadi insan yang lebih baik selepas memeluk Islam.
Penyanyi Cat Stevens yang lebih dikenali sebagai Yusuf Islam hari ini adalah antara mereka yang gembira dengan perkembangan ini. Dengan nama asalnya Steven Demetre Georgiou, penyanyi dan pemuzik British ini mendapat hidayah selepas mendengar azan di Maghribi. Tragedi lemas yang hampir membawa maut serta hadiah al-Quran oleh abangnya membawanya kepada Islam pada 1977.
Pastinya Yusuf Islam mengalu-alukan kedatangan Mikaeel ke dalam Islam. Namun, reaksi kepada penganutan ini membawa impak yang pelbagai daripada masyarakat massa di seluruh dunia dan tidak terkecuali di United Kingdom.
Misalnya, ada yang suka dengan penghijrahan ini, malah ada juga umat Islam sendiri yang tidak menyokong keadaan ini. Tidak suka kerana Mikaeel menambah buruk imej Islam di mata dunia dengan kontroversi yang melanda dirinya.
Namun, ada juga yang menerima penghijrahan ini dengan lebih positif, mengharapkan Mikaeel menjadi insan lebih baik selepas ini.
Bagi yang bukan Islam pula, ada yang menghujahkan pengIslaman kebanyakan personaliti popular dunia adalah keputusan yang dibuat selepas nyawa di hujung tanduk. Misalnya, Mike Tyson juara tinju termuda dalam sejarah dunia memeluk Islam ketika dalam derita pertuduhan rogol. Mikaeel dikatakan berada dalam keadaan sama kerana disaman Putera Bahrain berjumlah AS$6 juta. Ada pihak yang melihat kesulitan hidupnya daripada dulu hingga sekarang dikatakan membawa kepada penghijrahannya.
Walau apapun reaksi dari seluruh dunia, kita mengharapkan yang terbaik bukan hanya kepada Mikaeel yang terkenal dan kemudian menganut Islam, tetapi juga kepada semua warga baru Islam di seluruh dunia. Sokongan yang sewajarnya perlu diberikan kepada golongan ini bukan hanya dari segi ilmu, tetapi juga dari segi psikologi dan tidak keterlaluan dari segi material jika berkemampuan.
Janganlah golongan ini dikutuk kerana kekurangan diri lampau ataupun kekurangan ilmu agama yang pastinya masih baru kepada mereka. Ikhlas atau tidak niat mereka bukan kita yang menghakimi. Jika kita terlalu suka menuding kesilapan orang lain, orang akan melihat Islam itu bukan daripada wajah Islam yang sebenar.