Anehnya demokrasi Thai

Dua perkara dilihat boleh terjadi dalam tempoh terdekat bagi merungkai kemelut politik di Thailand ketika ini. Pertamanya rampasan kuasa oleh junta tentera atas perkenan pihak istana. Keduanya pula ialah pilihan raya. Namun antara kedua- dua pilihan itu, Thailand hakikatnya tidak mungkin kembali tenang dalam waktu yang singkat. Tidak selepas rampasan kuasa atau selepas pilihan raya.

Alasannya sangat mudah. Penentangan yang melumpuhkan Bangkok ketika ini bertunjangkan perasaan amarah sebahagian besar rakyat ke atas bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Sedangkan Thaksin sudah tidak lagi berkuasa, yang ada hanya bayang-bayangnya sahaja. Malangnya bayang-bayang Thaksin itulah yang menjadi ketakutan teramat sangat kepada rakyat Thailand terutamanya penyokong Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) yang mengepalai aksi protes ketika ini.

PAD tidak akan berganjak daripada aksi demonstrasi jalanan mereka selagi Thaksin dan isterinya, serta seluruh kaum kerabat bekas Perdana Menteri itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa. Apa yang mungkin dengan sengaja dipandang mudah oleh PAD ialah, seandainya Thaksin akhirnya berjaya dibawa ke muka pengadilan sekali pun, aksi penentangan belum tentu dapat diredakan. Akan berlaku pula kebangkitan kumpulan penyokong kerajaan yang membela Thaksin seperti yang dapat disaksikan ketika ini. Dengan jumlah pro-Thaksin yang agak besar, pertempuran bukan sahaja boleh berlaku dengan pasukan keselamatan, malah turut merebak di kalangan penyokong PAD.

Keadaan itu memperjelaskan bahawa pengaruh Thaksin sangat kuat dalam mencorak politik Thailand. Golongan luar bandar dan kelas bangsawan misalnya, merupakan penyokong setia kepada Thaksin sehingga kini. Dua kumpulan itu jugalah yang menjadi penentu kepada sesebuah parti untuk menguasai politik di Thailand. Alasan itu juga menjelaskan mengapa pilihan raya selepas Thaksin digulingkan kembali dimenangi oleh Thaksin, yang dijelmakan semula menerusi parti baru iaitu Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Samak Sundaravej.

Kemenangan Samak mengembalikan semula apa yang berlaku kepada Thaksin dan sudah semestinya penentangan oleh PAD. Natijahnya, Samak dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand selepas tidak sampai setahun menjadi Perdana Menteri. Penggantinya, Somchai Wongsawat pula kini dalam perkiraan untuk menerima nasib serupa. Somchai yang sebelum ini turut dikaitkan dengan Thaksin menghadapi penentangan lebih hebat apabila PAD menghalangnya kembali ke tanah air dengan menguasai Lapangan Terbang Suvarnabhumi sejak lima hari lalu.

Di sebalik kebangkitan penentangan rakyat terhadap pemimpin yang korupsi, kemelut politik dalaman Thailand juga tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan campur tangan junta tentera dan pihak istana. Dalam mana-mana negara, Thailand paling kerap mencatatkan sejarah berlakunya rampasan kuasa iaitu sebanyak 18 kali. Atas alasan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan yang gagal dibawakan oleh kerajaan yang memerintah, dunia tidak terkejut sekiranya dalam masa terdekat ini akan berlaku rampasan kuasa ke-19 di Thailand.

Meskipun penglibatan junta tentera dan pihak istana tidak dapat dibuktikan dengan jelas dalam krisis ketika ini, namun melihat kepada reaksi kedua-dua institusi itu, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk merumuskan penglibatan kedua-duanya.

PAD tidak mungkin mampu melancarkan penentangan secara besar-besaran, melainkan mendapat sokongan daripada kumpulan yang berpengaruh, termasuk daripada junta tentera dan pihak istana.

Malah, jika benar tidak ada penglibatan kedua-dua institusi itu, mengapa tiada titah daripada Raja Bhumibol Adulyadej atau tindakan tentera bagi mengekang kumpulan penunjuk perasaan? Bukankah antara peranan tentera adalah memastikan keamanan negara?

Apa yang terlihat ketika ini ialah pihak tentera tidak berminat untuk menjaga keselamatan negara melainkan hanya berminat menunggu masa mendapat lampu hijau untuk merampas kuasa. Justeru kemungkinan berlakunya rampasan kuasa tidak boleh disangkal, cuma barangkali prosesnya tidaklah secepat kudeta terdahulu.

Namun, meskipun akhirnya Somchai digulingkan, dan pilihan raya baru diadakan, untuk parti yang berproksikan Thaksin kembali menguasai politik Thailand adalah sangat tinggi. Sekiranya itu sekali lagi berlaku, PAD akan kembali ke jalanan dengan aksi protes mereka. Justeru di mana penyelesaiannya? Menjawab kepada persoalan itu, penganalisis politik Asia Tenggara, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zaki Hasan berkata, adalah sesuatu yang mustahil untuk memahami politik Thailand tanpa melihat daripada perspektif perjuangan kelompok yang menentang.

Apa yang dimahukan oleh PAD mungkin sukar untuk dijelaskan kerana sehingga kini walaupun beberapa matlamat mereka seperti menjatuhkan Thaksin dan Samak tercapai, namun akan timbul pula matlamat baru yang ingin dicapai.

Optimis

Justeru, penyingkiran Somchai juga seandainya menjadi kenyataan, bukanlah jaminan optimis untuk melihat PAD menamatkan aksi protes mereka. '' PAD bukan sahaja berjuang untuk menghapuskan pengaruh Thaksin dalam politik Thailand semata-mata, sebaliknya mereka mempunyai agenda yang lebih besar, sama seperti agenda junta tentera apabila terlibat dalam kancah politik.

''Ini tidak mustahil kerana sebahagian pemimpin PAD adalah golongan ahli perniagaan yang mana sebahagian mereka diketepikan oleh Thaksin semasa beliau berkuasa," ujar Ahmad Zaki.

Kemelut politik di Thailand kini juga menunjukkan satu trend berbeza berbanding krisis sebelumnya terutama sejak pemerintah Thaksin dan kerajaan selepasnya.

Politik Thailand sebelum ini sering dikaitkan dengan campur tangan junta tentera sehingga menimbulkan pertembungan dengan golongan birokrat dan sivil yang mewakili penaung masing-masing.

Punca pertembungan pastinya bagi merebut jawatan penting yang membolehkan 'penciptaan duit segera' melalui konsesi projek kerajaan.

Berbeza dengan krisis ketika ini, Ahmad Zaki menilai Thailand sedang berdepan dengan konflik paradoks demokrasi, iaitu dua perkara yang bertentangan berlaku secara serentak dalam masa yang sama.

PAD melakukan aksi protes atas matlamat memulihkan demokrasi, sedangkan tindakan mendesak Somchai meletakkan jawatan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Begitu juga tindakan tentera melancarkan rampasan kuasa pada 19 September 2006 yang dibuat atas alasan menyelamatkan demokrasi. Tetapi tindakan merampas kuasa itu sendiri adalah sesuatu yang menyalahi amalan demokrasi. Demikian halnya dengan pilihan raya yang dimenangi oleh PPP pada 27 Disember 2007, yang boleh dikatakan berjaya dan dilaksanakan dengan baik.

Malangnya, keputusan pilihan raya itu tidak hormati. Proses pilihan raya sudah mencerminkan amalan demokrasi, tetapi sikap tidak akur dengan keputusan pilihan raya oleh rakyat Thailand pula adalah sebaliknya.

Justeru Ahmad Zaki menjelaskan lagi, penyelesaian terbaik hanya akan dapat dicapai sekiranya pihak terlibat termasuk PAD, tentera dan istana benar-benar memahami prinsip demokrasi serta menghormati keputusan-keputusan yang lahir melalui proses yang demokratik. Selagi semua pihak yang terbabit tidak mampu untuk menjadikan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian, maka konflik di Thailand tidak akan berakhir.

''Jika berjaya dibawa ke meja rundingan pula, semua pihak juga perlu bersedia untuk mengorbankan beberapa kepentingan masing-masing bagi mencapai kata sepakat," ujar beliau. Barangkali kesempatan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan pada 14-17 Disember ini di Chiang Mai memberi peluang kepada Thailand untuk membahaskan mengenai kemelut politik negara berkenaan dari kaca mata pemimpin-pemimpin negara anggota.

Permasalahan Thailand termasuk kemelut politik ketika ini dijangka menjadi tumpuan persidangan selain krisis sempadan Thailand-Kemboja. Isu lain yang turut tidak terlepas ialah situasi di wilayah selatan Thailand yang masih kabur dan seakan terpinggir kerana tumpuan yang diberikan terhadap pergolakan politik serta kekacauan di Bangkok.

Negara-negara anggota pastinya tidak mahu membiarkan permasalahan yang berlaku di Thailand berterusan tanpa penyelesaian kerana ketidakstabilan politik negara itu secara tidak langsung turut menjejaskan citra kerjasama ASEAN dalam pelbagai bidang.

Malaysia dalam usaha membantu Thailand tambah Ahmad Zaki, boleh memainkan peranan sebagai orang tengah seperti dalam isu wilayah selatan Thailand menerusi kerjasama Task Force 2010 (Malaysia) dengan Task Force 906 (Thailand).

''Untuk itu, Thailand perlu ikhlas melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa mengambil berat dan bersedia memberi pertolongan dengan melenyapkan tanggapan bahawa Malaysia ingin mencampuri urusan dalaman negara lain," ujar beliau.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url