LHDN perkenal e-refund 2009
Ketika ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya melaksanakan kaedah menghantar cek menggunakan pos ke alamat pembayar cukai yang menyebabkan sering wujud masalah pembayar tidak menerima cek berikutan kekeliruan alamat.
Ketua Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah yang mengesahkan pelaksanaan sistem terbaru berkenaan tahun depan dan menjangka ia mengurangkan masalah pembayar cukai tidak menerima bayaran balik lebihan cukai.
“Sejak beberapa tahun, kami mengesan 10 hingga 20 peratus cek pembayaran balik lebihan bayaran cukai dihantar menggunakan pos dikembalikan kerana masalah alamat pelanggan (pembayar cukai) tidak lengkap atau sudah berpindah.
“Keadaan ini menyebabkan ada pihak mendakwa LHDN tidak membuat kerja yang sama sekali tidak benar kerana masalah timbul akibat ada pembayar cukai tidak mengemas kini maklumat mereka.
“Jadi, kami mengambil keputusan memperkenalkan sistem e-refund sebagai langkah bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah pembayar cukai tidak menerima lebihan bayaran cukai mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Mengikut statistik pada 2007, LHDN memulangkan semula kira-kira RM3 bilion lebihan bayaran kepada 250,000 pembayar cukai selepas penelitian membabitkan 320,000 fail kes pembayar cukai menunjukkan individu terbabit membayar lebih daripada sepatutnya.
Menurut piagam pelanggan berhubung tempoh masa pembayaran balik lebihan bayaran cukai, pembayar cukai menggunakan e-filling akan menerima wang berkenaan dalam tempoh 30 hari manakala 90 hari bagi pelanggan menggunakan kaedah manual.
Hasmah berkata, pelaksanaan e-refund itu juga bakal memberi kesan dari segi tempoh masa kerana penghantaran dijangka lebih cepat kerana tidak perlu melalui proses penghantaran.
“Wang akan terus dimasukkan ke akaun bank sebaik saja proses penilaian selesai. Bagaimanapun, ia tetap seperti termaktub dalam piagam pelanggan kami di mana perbezaannya tiada lagi tempoh penghantaran seperti sebelum ini.
Hasmah berkata, pembayar cukai perlu mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX, iaitu Bank Islam Malaysia Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank (Akaun BCB), Hong Leong Bank Bhd dan Public Bank Bhd.