Wirid & zikir penenang jiwa paling mujarab
Namun, bagi Muslim semua amalan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau seumur hidup sama ada wajib, sunat, haram, makruh, mahupun harus yang ditetapkan Allah SWT untuk dilaksanakan mempunyai tujuan duniawi dan ukhrawi termasuk untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan.
Apabila Islam datang bersama Rasulullah SAW dengan visi dan misi kerahmatan lil 'alaminnya, semua amalan masyarakat Arab ketika itu diganti dengan amalan yang sesuai dengan kehendak Allah SWT. Sebagai contoh, amalan menyembah tuhan selain Allah yakni patung berhala secara tabik hormat, rukuk dan sujud diganti dengan amalan solat yang disertai takbir, rukuk, iktidal, sujud, duduk tasyahhud dan taslim. Begitu juga dengan amalan lain termasuk hari keraian Nairuz dan Mahrajan di Madinah diganti dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Semuanya sesuai dengan hukum syarak yang dibawa Baginda SAW atas perintah Allah SWT.
Seorang Muslim mempunyai amalan tersendiri daripada yang wajib hingga harus. Amalan ini berasal daripada ajaran al-Quran dan sunnah. Ada juga amalan yang disebut zikir dan tafakur. Ramai terkeliru menyamakan tafakur dengan meditasi padahal kedua-duanya mempunyai perbezaan ketara. Ketika bertafakur mesti ada dalam minda kita mengenai kekuasaan Allah, sedangkan dalam meditasi minda mesti dikosongkan.
Mengosongkan minda bererti satu kerugian menimpa diri kerana kita mensia-siakan masa yang perlu diguna sebaik-baiknya.
Zikir sudah sering disentuh dalam ruangan ini, tetapi wirid baru kali ini dijelaskan. Wirid dan zikir mempunyai persamaan dan perbezaan. Persamaannya, kedua-dua amalan ini mengingati Allah dan perbezaannya adalah wirid lebih khusus daripada zikir kerana zikir boleh dibuat bila-bila masa dan dalam keadaan apa pun jua. Wirid mempunyai tatacaranya tersendiri seperti yang akan kita lihat dalam penjelasan berikut.
Dalam Kamus Dewan wirid mempunyai takrifan sebagai "1. petikan daripada al-Quran yang ditentukan untuk dibaca (dipelajari dan lain-lain); 2. zikir yang dibaca selepas sembahyang," manakala Kamus Kontekstual Lengkap al-Khalil menterjemahkan wirid dengan erti "sedikit air, nasib, sebahagian Quran dan sebagainya, sekumpulan burung, tentera, mengambil air, mendekati air." Dalam A Dictionary of Modern Written Arabic ia diterjemahkan sebagai specified time of day or night devoted to private worship (in addition to the five prescribed prayers); a section of the Koran recited on this occasion.
Menurut istilah ahli tasawuf dan pengertian secara umum dalam disiplin ilmu Islam, wirid bermakna seperti ditulis Syeikh Muhammad al-Madini dalam artikelnya bertajuk al-Wird, "azkar makhsusah min al-quran wa sunnah Rasulillah wa min athar al-'ulama al-'amilin" atau zikir khusus daripada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan amalan ulama muktabar. Zikir dibaca pada masa tertentu siang atau malam sehingga seolah-olah si pembaca wirid mengambil air apabila dia berasa haus.
Menerusi zikir secara amnya dan wirid secara khasnya membuat mukmin tenang jiwa, sejuk hati dan sihat badannya seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: "Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'du: 28)
Sebagai amalan khusus yang mempunyai tatacaranya sendiri, wirid mempunyai dasar hukumnya daripada al-Quran dan sunnah Nabi. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW sambil mengeluh: "Wahai Rasulullah, alangkah banyaknya hukum hakam syarak yang seakan-akan membebaniku, berikanlah aku sesuatu agar aku tetap teguh melaksanakannya. Baginda menjawab: Basahilah lidahmu dengan selalu berzikir kepada Allah."
Agar Allah mencukupkan kita dengan apa saja yang kita inginkan mengenai perkara dunia dan akhirat, maka kita cukup dengan membaca tujuh kali pada pagi dan petang potongan ayat 129 Surah al-Taubah yang bermaksud:
"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang besar." (Hadis riwayat Ibn Sunni dan Ibn 'Asyakir secara marfu') Bukankah wirid ini menanamkan pada jiwa kita sifat tawakal dan berserah diri kepada Allah?
Agar hati kita tidak mati pada siang dan malam, maka bacalah dua ayat terakhir Surah al-Isra' setiap pagi dan petang seperti diriwayatkan dalam hadis al-Dailami. Bukankah wirid ini mengajar kita betapa penting menjaga hati agar tetap terang di bawah sinaran Allah?
Alangkah indahnya tuntutan Rasulullah yang mengajar umatnya untuk wirid pada pagi dan petang dengan membaca asbahna (amsaina) wa asbaha (amsa) mulku lillahi walhamdulillah la syarika lah la ilaha illa huwa wa ilaihin-nusyur (Sesungguhnya kami terjaga pada pagi dengan kesedaran bahawa kerajaan ini seluruhnya milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagi-Nya, tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan. Bukankah wirid ini menanamkan pada hati kita bahawa kekuasaan mutlak di tangan Allah?)
Dalam hadis Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban diriwayatkan bahawa barang siapa membaca pada pagi dan petang maksudnya: "Ya Allah, nikmat apapun yang ku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhluk-Mu adalah daripada-Mu yang tidak mempunyai sekutu, maka bagi-Mu segala puji dan syukur", maka sesungguhnya dia telah menunaikan syukur pada siang dan malam hari itu. Bukankah wirid ini mengajar kita agar tidak tamak haloba?
Untuk menjaga kesihatan kita, Rasulullah mengajar wirid untuk dibaca pada pagi dan petang tiga kali yang bunyinya Allahumma 'afini fi badani, allahumma 'afini fi sam'i, allahumma 'afini fi bashari la ilaha illa anta. (Ya Allah sihatkanlah badan, pendengaran dan penglihatanku. Tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis riwayat Abu Daud) Bukankah dengan wirid ini kita akan sentiasa mendapat kesihatan dari Allah?
Banyak lagi wirid yang diajarkan Rasulullah kepada sahabat jika diamalkan oleh mukmin, dia tidak lagi perlu kepada cara lain untuk menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan menyihatkan badan kecuali cara yang sesuai dengan ajaran Nabi Junjungan umat Islam. Wallahualam.
dengan mengingati ALLAH,jiwa akan menjadi tenang..=)