Top Ad 728x90

Maritim Malaysia semakin digeruni

Apam? Itu antara gelaran 'usikan' yang diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berdasarkan akronim organisasi tersebut, iaitu APMM.

Walaupun dianggap sekadar gurauan oleh sesetengah pihak, Ketua Pengarah APMM yang baru, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish tenyata tidak senang dengan panggilan tersebut.

Baginya, gelaran itu seolah-olah mempersenda kewujudan APMM yang diberi tanggungjawab untuk mengawal serta menguatkuasakan undang-undang di zon maritim negara merangkumi perairan pedalaman, laut wilayah, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Justeru, tidak hairan kenapa beliau begitu berazam untuk melakukan penjenamaan semula organisasi tersebut dengan gelaran Maritim Malaysia.

Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, perkataan Maritim Malaysia sudah dilihat tertera pada aset-asetnya seperti uniform, bot, kapal dan helikopter, menggantikan APMM.

"Kita adalah agensi bermaruah, kita tidak mahu dipersenda dengan gelaran sedemikian.

"Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai APMM, sebaliknya Maritim Malaysia. APMM akan lakukan penjenamaan semula termasuk logo baru," katanya pada sidang akhbar di atas kapal KM Langkawi sempena program Hari APMM Bersama Media yang julung kali diadakan di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Selain itu, jelasnya, nama APMM agak panjang dan boleh mengelirukan orang ramai tentang peranannya.

"Kalau nak tukar kepada Coast Guard Malaysia akan mengambil masa lama kerana melibatkan akta dan perlu mendapat kelulusan Kabinet," tambahnya.

Semasa mula beroperasi tiga tahun lalu, ramai yang meragui kemampuan APMM untuk mengawal perairan negara seluas 614,000 kilometer (km) persegi dengan pantai sepanjang 4,492 km, ditambah dengan kekurangan aset dan anggota.

Pada peringkat permulaan, APMM lebih menumpukan kepada tugas-tugas mengawal Selat Melaka.

Ternyata kehadiran APMM di selat paling sibuk di dunia itu mendatangkan kesan apabila kadar pelanunan di kawasan berkenaan menurun.

Banyak bot nelayan lebih berani menangkap ikan hingga ke tengah laut berbanding sebelumnya.

Dengan adanya perolehan aset baru dan pertambahan anggota secara berperingkat, APMM dari semasa ke semasa mula memperlihatkan peningkatan dalam tugas-tugas penguatkuasaan di laut.

Banyak bot yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti jenayah seperti penyeludupan kayu balak, diesel, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penangkapan ikan secara haram berjaya ditahan.

Menurut Mohd. Amdan, dari bulan Januari hingga September lalu sebanyak RM13.5 juta barangan seludup berjaya dirampas oleh APMM berbanding RM3.3 juta pada 2007 dan RM40,000 tahun 2006.

"Peningkatan ini disebabkan APMM telah menggandakan jumlah rondaan dan operasi di laut dengan adanya kemasukan anggota-anggota baru selain wujud jaringan perisikan yang semakin baik," ujarnya.

Sementara jumlah orang kena tuduh melakukan jenayah adalah seramai 2,920 orang bagi tempoh sama berbanding 3,277 tahun lalu dan 877 pada 2006.

Mengulas mengenai aset-aset baru yang bakal diterima APMM, beliau memberitahu pesawat pelbagai guna amfibia yang dibeli dijadualkan tiba penghujung tahun ini sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia menggunakan kapal terbang jenis itu.

Pesawat jenis Bombardier 415 buatan Kanada itu merupakan salah satu daripada dua buah yang dibeli oleh kerajaan dengan kos RM240 juta.

Ia akan digunakan untuk tugas-tugas peninjauan serta pengawasan di laut selain membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran.

"Pesawat amfibia adalah aset terbaru bakal dimiliki APMM yang akan diterima pada November ini.

"Buat masa ini, pesawat ini akan digunakan untuk tugas pengawasan tapi ia juga boleh mendarat di air untuk mencedok air bagi membantu memadam kebakaran," katanya.

Menurutnya, seramai enam juruterbang dan krew Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diserapkan ke dalam APMM bagi mengendalikan kedua-dua pesawat berkenaan.

Beliau menambah, kesemua mereka telah memulakan latihan sejak Ogos lalu.

Selain pesawat, APMM juga bakal menerima 20 buah bot pintas yang berupaya mencecah kelajuan sehingga 60 knot secara berperingkat mulai 2010.

APMM juga kini mempunyai pasukan elit dikenali sebagai Pasukan Tindakan Khas (Star) di mana anggota-anggotanya terdiri daripada bekas anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).

Bagaimanapun, Mohd. Amdan menegaskan perolehan aset-aset moden tidak membawa erti kepada APMM selagi rakyat Malaysia sendiri menaungi kegiatan negatif di perairan negara.

Sebagai contoh, jelasnya, mudahnya PATI membolosi perairan negara disebabkan adanya orang tempatan yang menjadi dalang.

"Kalau difikirkan, bagaimana PATI yang baru tiba ke negara ini boleh terus 'hilang' tanpa dikesan?

"Siapa yang tunjukkan mereka jalan, mana nak pergi, simpan mereka, sediakan makan? Sedar-sedar sudah bekerja di ladang, hutan, projek perumahan.

"Siapa yang menjadi dalang kalau bukan orang kita sendiri?" ujarnya.

Justeru, beliau amat berharap agar orang ramai dapat berkongsi maklumat dengan APMM tentang kegiatan sedemikian.

Sebelum mengakhiri program berkenaan, beliau memberi peringatan bahawa penguatkuasaan berkesan amat penting kerana ia melambangkan kedaulatan negara.

Sewajarnya peringatan itu tidak kita pandang sepi begitu sahaja.

Ini kerana, sebagai rakyat Malaysia kita sendiri yang bertanggungjawab memastikan maruah negara tidak tergadai.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90