Pemimpin gila kuasa tidak dapat pikul tanggungjawab

Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata, Nabi SAW berkata kepadaku: “Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan perkataan lain menjadi orang yang gila kuasa kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara mudah.

Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu itu mempunyai kepentingan tertentu.

Kepemimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru-hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati. Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkan sedangkan dialah orang yang paling layak insya-Allah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.

Adapun pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah: Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda: Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Setiap pemimpin hendaklah menjalinkan hubungan baik dengan rakyat supaya tidak berlaku keadaan benci-membenci di antara satu sama lain. Islam melarang umatnya menentang pemimpin sekalipun pemimpin itu melakukan kesilapan atau kesalahan selagi mana ia mendirikan sembahyang sebagai bukti ia masih lagi Islam.

Salah satu daripada tanda keadilan seorang pemimpin ialah wujudnya ikatan kasih sayang dan kemesraan di antara pemimpin dengan rakyat dan di kalangan pemimpin dengan pemimpin lain.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url