Pengundian Presiden Amerika Syarikat


Pemilihan Presiden Amerika Syarikat semalam, dijangka mencatat jumlah pengundi tertinggi dalam sejarah, sekali gus memberi tekanan kepada sistem yang sebahagian besarnya belum diuji.

Malah beberapa kumpulan menggesa supaya sistem pengundian dirombak, atas alasan Amerika mempunyai sistem pengundian tidak teratur dan tidak direka khusus untuk berdepan dengan kebanjiran sehingga 100 peratus pengundi, lapor media tempatan semalam.

"Bayangkan, dianggarkan 130 juta pengundi Amerika menuju pusat pengundian serentak. Ini sudah pasti menimbulkan banyak masalah seperti yang berlaku dalam beberapa pemilihan terdahulu," kata Pengarah Pew Charitable Trust's Electionline.org, Doug Chapin.

"Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar sistem pengundian ini tidak diuji dan sukar diramal keberkesanannya. Ia sudah pasti memudahkan keadaan menjadi kelam-kabut."

Enam tahun selepas rombakan terbesar dalam sistem pengundian Amerika, pakar pengundian masih menjangkakan masalah kekurangan mesin dan kertas undi berlaku di beberapa negeri penting yang menjejaskan usaha untuk mengiranya.

Akhbar New York Times melaporkan, kira-kira separuh pengundi mengundi dalam sistem yang jauh berbeza daripada sebelumnya dan sebahagian besar menggunakan kertas undi berbanding skrin sentuh komputer yang menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar.

Namun kertas undi itu juga ada masalah – mesin pengimbas bagi membaca boleh rosak dan menyebabkan satu pertiga daripadanya terpaksa dikira kemudian di pusat pengundian. Ini bermakna, jika pengundi melakukan kesilapan mengisi kertas undi, ia hanya dikesan apabila keadaan sudah terlalu lewat.

Malah, tuntutan saman oleh pertubuhan hak mengundi sudah difailkan di Pennsylvania dan Virginia yang menuduh pegawai tidak mempunyai kertas undi mencukupi.

Di negeri yang melakukan undian awal, wujud laporan termasuk mesin skrin sesentuh yang rosak, kesilapan cetakan menyebabkan mesin pengimbas tersekat.

Dianggarkan 70 peratus pengundi berdaftar akan membuang undi dengan bilangan angka itu meningkat di beberapa negeri.

"Cabarannya adalah apabila jumlah pengundinya menghampiri 100 peratus pada hari mengundi.

"Jika dulu, pola jumlah pengundi antara 50 hingga 70 peratus, tetapi kini ada negeri meramalkan hingga 90 peratus. Ia pasti mengganggu sistem yang tidak pernah menyaksikan kebanjiran pengundi," kata Chapin.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url