Persefahaman suami isteri capai kebahagiaan rumah tangga
Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya daripada perkara berbahaya atau memudaratkannya. Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian secukupnya.
Suami juga hendaklah membimbing isteri serta anak supaya selamat daripada api neraka. Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki memberi nafkah daripada harta mereka." (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam juga menggariskan tanggungjawab suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula bersedia untuk mentaati perintah suami.
Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.
Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepemimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.
Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam menyarankan dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya.
Namun yang perlu diutamakan adalah yang salihah (beriman) supaya mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz.
Setiap wanita Islam hendaklah menyedari haknya yang digariskan syarak supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan suami tidak bertanggungjawab.
Seorang isteri salihah adalah yang mencakupi erti kata wanita berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.
Apa juga keadaan melanda, suami atau isteri tidak sepatutnya mendedahkan masalah rumah tangga hingga menjadi bahan cerita sebaliknya berusaha menyelesaikan masalah dengan cara baik.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat padanya kemudian ia menceritakan rahsia itu." (Hadis riwayat Ahmad)
Setiap yang bergelar isteri atau suami pasti mempunyai kehidupan peribadi yang dikongsi bersama. Sebahagiannya adalah rahsia rumah tangga yang harus dijaga.
Jika rahsia itu disebarkan sudah tentu salah seorang akan terdedah kepada aib, pandangan serong, kata nista, umpatan dan gangguan. Dengan kata lain, rahsia rumah tangga ialah sesuatu yang hanya boleh dikongsi bersama antara suami isteri atau dengan anak-anak, kerana membabitkan soal maruah, nasib masa depan dan keselamatan keluarga.
Ini dibayangkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Tiadalah yang lebih memberi manfaat kepada seseorang yang beriman selepas ia bertakwa kepada Allah, yang lebih baik daripada memiliki seorang isteri salihah. Jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang menyukakan hati dan jika ia tiada bersama ia akan memelihara nama baiknya sama ada pada dirinya atau harta suaminya." - (Hadis riwayat an-Nasa'i, Ahmad dan Abu Daud)