Top Ad 728x90

Pilihan strategi, perancangan bagi pelaburan berjaya

STRATEGI dan perancangan adalah penting dalam menentukan kejayaan sesuatu usaha kerana tanpanya kita akan hilang pedoman dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Begitu juga halnya dengan pelaburan. Dalam artikel kali ini, kami akan menghuraikan strategi yang biasa digunakan dalam pelaburan.

Pada umumnya ada tiga jenis strategi pelaburan iaitu:

l Strategi pelaburan pertumbuhan

l Strategi pelaburan nilai

l Strategi pelaburan berorientasikan pasaran

Anda boleh memilih mana-mana strategi ini asalkan ia sesuai dengan matlamat pelaburan, pulangan diharapkan dan juga tahap risiko yang mampu ditanggung.



Strategi Pelaburan

Pertumbuhan

Jika anda memilih strategi ini, anda perlu memilih syarikat yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih tinggi berbanding purata industri.

Anda perlu memberi perhatian kepada pendapatan syarikat yang anda mengharapkan potensi pertumbuhan pendapatan tinggi yang akan menaikkan harga sahamnya.

Selalunya, saham dalam industri yang berkembang seperti teknologi menjadi pilihan pelabur pertumbuhan.

Saham seperti ini didagangkan pada nisbah harga pendapatan lebih tinggi kerana pelabur sanggup membelinya pada harga premium dengan harapan ia akan naik apabila syarikat itu menunjukkan prospek pertumbuhan yang baik.

Namun, jika anda memilih strategi ini, anda berdepan kemungkinan risiko pertumbuhan dijangkakan tidak menjadi kenyataan. Justeru, kajian teliti perlu dilaksanakan.

Peter Lynch, seorang pakar kewangan yang mengamalkan strategi ini pernah memberi amaran kepada pelabur bahawa mereka perlu ‘mengelakkan saham yang paling mendapat tumpuan dalam industri yang paling mendapat tumpuan’.



Strategi Pelaburan Nilai

Strategi ini menjadi ikutan pelabur terkenal seperti Benjamin Graham dan Warren Buffet. Fokus utama strategi ini ialah mencari saham di bawah nilai sebenarnya.

Mengikut Warren Buffet, nilai sebenar sesebuah syarikat ialah ‘nilai diskaun tunai yang boleh dikeluarkan daripada perniagaan syarikat sepanjang baki tempoh hayatnya’.

Dengan melabur dalam saham murah, margin keselamatan (perbezaan antara nilai intrinsik dengan harga pasaran sesuatu saham) anda juga lebih kukuh kerana risiko penurunan dapat dikurangkan memandangkan nilai syarikat itu adalah lebih tinggi berbanding harga yang anda bayar.

Saham yang menjadi sasaran pelabur dalam kategori ini ialah saham yang mempunyai nisbah harga pendapatan rendah.

Kelemahan utama strategi ini ialah risiko pada saham dengan nisbah harga pendapatan rendah kerana mungkin ada sebab kukuh mengapa harga sahamnya rendah.

Justeru, pastikan anda menganalisis dengan teliti syarikat itu untuk memastikan sebarang masalah mungkin dihadapi mengenai perniagaan dan prospek pendapatannya hanya sementara dan mampu ditangani syarikat itu.

Anda juga perlu mengambil kira tempoh masa diperlukan untuk harga saham itu naik semula.



Strategi pelaburan

berorientasikan pasaran

Strategi ini yang juga dikenali ‘pelaburan momentum’ adalah paling popular kerana ia berdasarkan pola carta harga ataupun minat pembelian sesuatu saham, mengikut arah aliran pasaran.

Pelabur dalam kategori ini akan membeli bila pasaran naik dan menjual sebaik pasaran mula turun.

Fokus utama pelabur ini ialah saham yang paling mendapat tumpuan di pasaran.

Antara ketiga-tiga strategi di atas, strategi berorientasikan pasaran dianggap paling berisiko kerana jika timbul masalah yang paling kecil pun, ia akan mendorong kepada penjualan sesuatu saham secara besar-besaran.

Jika anda ingin mencuba strategi ini, pastikan anda sentiasa peka tentang apa yang berlaku di pasaran dan mampu bertindak dengan pantas.

Kebanyakan pakar kewangan akan menasihatkan anda agar tidak mengikut corak pelaburan orang ramai.

Justeru, jika baru dalam pasaran saham, mengguna pakai strategi yang pertama dan kedua adalah kurang berisiko dan mungkin lebih sesuai untuk anda.

Namun, walau strategi mana dipilih, jangan lupa membuat kajian mendalam mengenai syarikat yang anda ingin melabur dan pastikan anda berdisiplin dalam melaksanakan strategi yang ditetapkan.



Artikel ini ditulis oleh SIDC dan Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal. Maklumat yang terkandung dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan.

Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tips pelaburan bijak.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90