Public Bank tubuh bank Islam
Public Bank dalam kenyataannya di sini berkata, dengan adanya entiti baru itu, perniagaan perbankan Islam Public Bank yang selama ini dijalankan menerusi konsep 'jendela' akan dipindahkan ke Public Islamic Bank.
Public Islamic Bank akan terus berkongsi infrastruktur, platform teknologi maklumat (IT) dengan rangkaian cawangan bank induknya, termasuk penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) Public Bank.
Public Bank berkata, pelanggan perbankan Islam kumpulan Public Bank akan menikmati perkhidmatan tanpa gangguan dan masih boleh menjalankan urus niaga di semua 242 cawangan Public Bank dan 26 pusat sewa beli di Malaysia.
Para pelanggan masih boleh terus menggunakan buku simpanan, buku cek dan kad ATM sedia ada sehingga diberitahu kelak, kata bank itu.
Perniagaan perbankan Islam Public Bank telah mencatatkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 25 peratus sepanjang lima tahun lepas dan menyumbang secara ketara kepada keuntungan Public Bank.
Sehingga 30 September 2008, aset perbankan Islam berjumlah RM14.6 bilion, atau 7.7 peratus daripada jumlah aset kumpulan itu.
Pembiayaan Islam adalah sebanyak RM12.4 bilion atau 10.5 peratus daripada jumlah pinjaman dan pendahuluan manakala deposit pelanggan berada pada RM11.9 bilion atau 7.6 peratus daripada jumlah deposit pelanggan.
Penubuhan Public Islamic Bank menunjukkan komitmen kumpulan itu untuk terus mempertingkatkan perniagaan perbankan Islam seiring dengan matlamat Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia, katanya.
Public Islamic Bank akan memanfaatkan pasukan pengurusan Kumpulan Public Bank yang terbukti cekap, jenama kukuh dan rangkaian cawangan yang luas, kata kenyataan itu.
Katanya, produk dan perkhidmatan perbankan Islam akan terus disediakan melalui saluran penyampaian yang pelbagai, daripada perkhidmatan di kaunter hingga ke akses dalam talian seperti tele perbankan dan perbankan Internet.
Seperti juga Public Bank, Public Islamic Bank akan terus menumpukan kepada perniagaan pembiayaan perdagangan pengguna dan runcit serta pengambilan deposit.
Bagaimanapun, ia akan meneroka peluang baru dalam pasaran modal Islam untuk mengambil insentif yang disediakan di bawah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia dan berusaha ke arah penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa Islam.
Ismail Ibrahim yang sebelum ini Pengurus Besar, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Public Islamic Bank.
- Utusan