Kuala Lipis kaya kesan sejarah



Bandar yang pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 sebelum berpindah ke Kuantan ini, mempunyai rentetan kesan sejarah yang masih utuh khususnya bangunan binaan penjajah British ketika itu yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Kuala Lipis dijadikan pusat pemerintahan Pahang ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.

Antara bangunan masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920).

Tinggalan lain yang masih kukuh termasuk kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan Batu Bertanda `01' menjadi pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan zaman British ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan British sebelum dan selepas merdeka.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata pembangunan bandar Lipis juga dikaitkan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti di Taman Rimba Kuala Kenong, Merapoh, Kuala Terenggun, Taman Rimba Kemahang dan Program Inap Desa Kuala Medang.

"Kuala Lipis memang sesuai sebagai destinasi program satu hari kerana di sini terdapat banyak tinggalan sejarah dan menjadi transit pelawat yang berkereta api ke Taman Negara, Kelantan seterusnya Thailand ," katanya.

Beliau berkata, pembangunan bandar Kuala Lipis sejajar dengan perancangan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berasaskan bidang agro dan eko pelancongan dengan mengeksploitasi artifak sejarah, pertanian, kebudayaan dan kesenian untuk menarik pelawat ke daerah itu.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi pelancongan supaya menjadikan Kuala Lipis sebagai satu daripada destinasi mereka untuk memberi peluang pelancong asing melihat bangunan peninggalan British di bandar ini.

Selain melihat bangunan bersejarah, katanya, pelawat juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semula jadi.

Mohd Shahrum berkata, tahun lalu, kira-kira 50,000 pelawat berkunjung ke Kuala Lipis untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika, sungai, perkampungan Orang Asli dan tinggalan sejarah.

"Jadi, usaha memulihara bangunan sejarah di samping mengindahkan kawasan bandar akan dijalankan secara berterusan oleh MDL dan agensi kerajaan lain supaya ia terus terpelihara," katanya.

Mohd Shahrum berkata, pembukaan jalan baru Kuala Lipis ke Kuantan melalui Jerantut dan menaik taraf jalan dari Bentong ke Lipis, mampu mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan dan pertanian di daerah itu.

Beliau berkata, Kuala Lipis menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada pelancong seperti hotel, Rumah Rehat Bukit Residen dan Rumah Rehat Tanjong Lipis yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hidangan makanan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar.

"Pihak berkuasa tempatan di sini dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan sedang giat mempromosi daerah ini, malah menobatkan Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah di Pahang," katanya.

Antara usaha mempromosikan bandar Kuala Lipis termasuk menganjurkan Karnival Lipis, Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang dan menjadi tuan rumah program pameran serta seminar pertanian dan pelancongan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bekerjasama mengekalkan kebersihan bandar Kuala Lipis sebagai usaha membantu mempromosi daerah ini untuk tarikan lebih ramai pelancong pada tahun ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url