Rukun Haji

Takrif Rukun Haji
RUKUN pada bahasa bererti ruang asas atau sudut sesuatu. Dalam ibadah haji rukun ialah perkara atau amalan asasi yang mesti dilakukan oleh setiap jemaah yang mengerjakan haji dalam sebarang situasi dan keadaan. Andainya mana-mana rukun haji tersebut ditinggalkan secara sengaja atau tidak, maka hajinya tidak sah.

Rukun-Rukun Haji

1. Niat Haji

Niat pada bahasa ialah qasad hati dan keazaman untuk melakukan sesuatu. Pada istilah syarak pula niat adalah qasad melakukan sesuatu disertai dengan melakukan perbuatan tersebut.

Dalam ibadat haji niat haji bermaksud berniat ihram dengan pekerjaan-pekerjaan haji. Ihram pula bermaksud memasukkan diri sesaorang ke dalam amalan-amalan haji dan menjadikan sesaorang terikat dengan beberapa peraturan di antaranya diwajibkan memelihara diri dari melakukan larangan-larangan ihram hinggalah ia mendapat tahallul dengan syarat-syaratnya.

Tidak seperti ibadat-ibadat lain berniat ihram haji atau umrah memestikan seseorang menyempurnakan semua amalan-amalan yang berkaitan dengannya. Ia tidak terbatal dalam apa keadaan sekalipun. Seseorang yang telah berniat haji terikat dengan kewajipan menyempurnakannya selama ia belum menunaikan semua rukun-rukun dan kewajipannya.

Contohnya seseorang yang telah berniat haji tidak bebas dari ihramnya dan tidak batal hajinya dengan hanya membatalkan niat haji. Niat haji hanya sah dilakukan pada bulan-bulan haji.

Bulan-bulan haji

Adalah tempoh di antara 1 Syawal hinggalah fajar 10 Zulhijjah. Seseorang yang berniat haji hendaklah seorang Islam dan berakal. Ini bermaksud orang bukan Islam tidak sah hajinya. Begitulah juga kanak-kanak yang belum mumaiyiz dan orang gila tidak sah berniat haji sendiri. Mereka hendaklah diniatkan ihram haji oleh wali mal (harta) mereka.

Kanak-kanak yang mumaiyiz niat ihramnya sah jika mendapat keizinan wali malnya jika tidak niatnya juga tidak sah.

Wali mal adalah bapanya, datuknya, wasi, hakim atau naibnya. Selain dari wali mal ini tidak sah meniatkan haji kanak-kanak dan orang gila walaupun mereka adalah saudara dan bapa saudaranya.

Wali mal yang telah meniatkan haji kepada kanak-kanak dan orang gila wajib membawanya ke semua tempat-tempat ibadat haji seperti Arafah, Muzdalifah, Mina dan Jamarat.

Ia juga wajib membawanya menunaikan tawaf dan saie setelah ia menunaikan tawaf dan saei untuk dirinya. Walaupun begitu ia boleh memberi izin kepada orang lain melakukan perkara-perkara tersebut.

Sebelum berniat haji jemaah disunatkan mempersiapkan dirinya dengan beberapa yang dikenali sebagai perkara- perkara sunat sebelum berniat ihram.

Setelah berniat ihram jemaah disunatkan memperbanyakkan talbiah dan memanjatkan doa kepada Allah. Talbiah yang diucapkan adalah lambang ketulusan hati dan tekad untuk mendapatkan reda Allah.

Semua makhluk Allah termasuklah batu dan pokok akan menjadi saksi di hari kiamat terhadap talbiah yang diucapkan. Talbiah ini hendaklah di teruskan hinggalah jemaah mula melontar al Jamratul Kubra pada tanggal 10 Zulhijjah.

Wuquf

Wuquf bermaksud berada di bumi Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sedetik sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Bagi jemaah haji, yang paling afdal adalah berwuquf pada sebahagian siang 9 Zulhijjah dan malam 10 Zulhijjah.

Wuquf tidak sah kecuali seseorang itu telah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Telah berniat dengan ihram haji.

2. Berkeahlian untuk beribadat . Ini bererti seorang yang gila, pitam dan mabuk yang hilang akal tidak sah berwuquf.

3. Berada di dalam sempadan Arafah.

4. Pada waktu yang telah ditentukan.

Para fuqaha menyatakan jika seorang gila berwuquf jadilah hajinya sunat seperti haji kanak-kanak yang belum mumaiyiz dengan syarat ia telah diihramkam oleh wali malnya.

Orang pitam yang tidak siuman sehingga tamat waktu wuquf dikira tidak mendapat haji fardu mahu pun sunat kerana tidak sah wuqufnya. Orang yang mabuk atau pening yang tidak hilang akalnya sah wuquf dan mendapat haji fardu.

Amalan semasa wuquf

Semasa wuquf para jemaah di kehendaki menjalaninya dengan hati yang pasrah dan memberi tumpuan kepada ibadah. Apabila masuk sahaja waktu zuhur yang juga menandakan masuknya waktu wuquf jemaah akan mendengar khutbah Arafah.

Azan dan iqamat akan dilaungkan semasa imam membacakan khutbah yang kedua. Setelah itu para jemaah akan menunaikan solat zuhur dan diiringi dengan solat asar secara jamak takdim. Sesudah solat jemaah akan memberi tumpuan untuk memperbanyakkan doa.

Jemaah diingatkan bahawa waktu wuquf dan berada di Arafah pada masa tersebut adalah waktu yang amat mustajab doa. Lantaran para jemaah hendaklah merebut peluang ini terutamanya ketika matahari terbenam pada hari wuquf.

Antara amalan-amalan yang dapat dilakukan adalah:

1. Bertalbiah

2. Berdoa

3. Berzikir

4. Solat berjemaah

5. Beristighfar
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url