Yang di-Pertuan Agong rasmi pembukaan WEC '08

Kejohanan Kuda Lasak Dunia (FEI-WEC) ke-12 dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan penuh warna warni dan gilang gemilang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Majlis itu memaparkan keunikan Terengganu serta penduduknya yang ramah dan kehidupan yang sopan.

Sebelum ketibaan tetamu kehormat, penonton tempatan dan asing yang membanjiri stadium itu seawal jam 7.30 malam dihiburkan dengan artis terkenal Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pegawai Operasi FEI WEC ke-12 dan Naib Pengerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan, penganjur kejohanan Datuk Seri Dr Salleh Mohd Nor dan Pengarah Bukan Sukan Olimpik FEI Lan Williams.

Terdahulu sebaik sahaja keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, lagu 'Negaraku' dinyanyikan.

Kemudian, Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan tetamu kehormat lain serta hadirin dipersembahkan dengan tarian yang memaparkan kebudayaan dan tradisi unik negeri Pantai Timur yang kaya dengan kehidupan marin dan tarikan pelancongan.

Ini diikuti dengan perbarisan masuk kira-kira 133 penunggang kuda dari 32 negara peserta kejohanan itu ke stadium tersebut yang boleh memuatkan 50,000 penonton. Tepukan gemuruh yang kuat diberikan kepada pasukan tuan rumah, Malaysia.

Kemuncak majlis perasmian ini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, ialah pukulan gong tiga kali yang diiringi dengan persembahan Simfoni Drum Malaysia.

Majlis pembukaan ini diakhiri dengan persembahan bunga api.

Kejohanan ini diadakan pertama kali di Malaysia dan kali kedua di benua Asia, menarik 133 penunggang dari 32 negara yang bertanding sejauh 160km dalam masa 13 jam dan 20 minit.

Selain Malaysia, negara lain yang menyertai kejohanan ini ialah Afrika Selatan, Argentina, Australia, Bahrain, Belgium, Kanada, Chile, Costa Rica, Colombia, Guatemala, Jerman, Holland, Itali, Jepun, New Zealand, Norway, Oman, Perancis, Portugal, Qatar, Sweden, Sepanyol, Switzerland, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat dan Britain.

Yang di-Pertuan Agong akan mengetuai pasukan Malaysia.

Kejohanan ini yang dibahagikan kepada dua kategori, individu dan pasukan, akan dilepaskan petang Jumaat ini dan dijangka tamat pada pagi Sabtu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu di Lembah Bidong, Setiu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url