Agihan pendapatan ASN 2008 5.50 sen seunit
Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan lebih rendah bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) sebanyak 5.50 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 berbanding 6.25 sen pada tahun lalu.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pihaknya memperuntukkan pembayaran sebanyak RM79.91 juta sebagai agihan pendapatan ASN pada tahun ini melibatkan 1.2 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 1.4 bilion unit ASN.
Beliau berkata, berdasarkan nilai aset bersih (NAB) ASN pada 23 Disember 2008 ialah RM0.6147 seunit dan kadar hasil pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen adalah sebanyak 9.83 peratus.
Sehingga 23 Disember lalu, ASN telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM97.59 juta.
''Pendapatan jualan saham menyumbang RM49.57 juta atau 50.79 peratus diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan sebanyak RM38.15 juta atau 39.09 peratus dan selebihnya RM9.87 juta atau 10,12 peratus adalah pelaburan jangka pendek,'' katanya dalam satu sidang akhbar mengumumkan agihan pendapatan ASN di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman pula berkata, keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan turut menyebabkan dana ASN menjadi tidak menentu pada tahun ini tetapi aliran tunainya masih kekal positif.
''Untuk keseluruhan tahun ini, ASN menunjukkan pertambahan sebanyak 63 juta unit baru yang dibeli oleh pelabur,'' katanya.
Menurut beliau, harga ASN tertinggi dicatatkan pada tahun ini ialah 98.57 sen dan paling rendah ialah 60 sen.
ASN pernah mencatatkan harga paling rendah ketika krisis kewangan Asia 1997/98 iaitu 45 sen.
Mengulas lanjut mengenai penurunan agihan pendapatan ASN pada tahun ini, Hamad Kama Piah berkata: ''PNB sebenarnya berupaya mengagihkan pendapatan sebanyak 8.08 peratus tetapi kami menyimpannya sebanyak 2.25 sen untuk dibawa ke hadapan.''
''Memandangkan dana ASN adalah dana pertumbuhan maka agihan pendapatan sebanyak 5.50 sen adalah kompetitif.''
Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan berdasarkan NAB ASN pada 31 Disember ini.
Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASN di semua pejabat dan ejen di seluruh negara mulai 2 Januari 2009.
ASN adalah sebuah tabung pertumbuhan yang diniaga berubah-ubah dengan matlamat menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal berpatutan melalui pelaburan dalam portfolio dipelbagaikan.