Bas ekspres jatuh sungai di Setiu
Sebuah bas ekspres membawa 15 penumpang menjunam ke sebatang anak sungai setelah tersalah masuk laluan menyebabkan dua orang termasuk pemandu cedera dalam satu kejadian di jambatan Kampung Balik Bukit di Setiu awal pagi ini.
Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kota Bahru, Kelantan itu terjunam ke anak sungai dari ketinggian kira-kira lima meter ketika melalui selekoh, jalan masuk ke Bandar Permaisuri, kira-kira pukul 6 pagi.
Laluan tersebut terputus kerana kerja-kerja pembinaan sebuah jambatan baru di situ.
Pemandu bas yang cedera ialah Ruslan Abdul Patah, 53, penumpang pula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bahru, Kelantan, Mohamad Hafiz Mohd., 14, manakala penumpang lain dapat keluar dari bas dengan selamat.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Cif Inspektor Hazmi Husin memberitahu, kejadian itu dipercayai berlaku apabila Ruslan tersilap memilih laluan.
Menurutnya, bas ekspres berkenaan sepatutnya melalui satu lagi laluan bersebelahan jambatan itu tetapi pemandu bas tersebut was-was kerana terdapat dua laluan termasuk jalan di sebelah kiri yang dalam pembinaan.
"Kemungkinan juga dalam keadaan cuaca gelap ketika itu menyebabkan pemandu bas memilih laluan di sebelah kiri iaitu jalan mati sehingga ke jambatan berkenaan menyebabkan bas terbabas dan terjatuh di tebing anak sungai, " ujarnya.
Hazmi memberitahu, kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan sepatutnya meletakkan penghadang di laluan ke jambatan baru tersebut bagi mengelak kekeliruan di kalangan pengguna jalan raya.
"Walaupun sudah ada papan tanda lain di situ tetapi ia tidak memadai jika tidak diletakkan penghadang di laluan terbabit yang agak mengelirukan kepada pengguna terutama pada waktu malam," tambahnya.
Sementara itu, Mohamad Hafiz ketika ditemui berkata, dia tidak tidur ketika bas itu menjunam ke sungai tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia berlaku secara tiba-tiba.
Dia yang cedera di dahi akibat terhantuk beberapa kali di kerusi bas menerima lima jahitan di Hospital Setiu.
- Utusan