RM1.8 bilion Bajet Terengganu 2009


Kerajaan negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM1.799 bilion sebagai anggaran Bajet 2009 untuk menampung pelbagai perbelanjaan termasuk membangunkan negeri ini dengan tumpuan untuk mempersiapkan diri bagi mengharungi krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penyediaan belanjawan yang besar itu semata-mata untuk menjamin pelaksanaan projek yang boleh memberi impak besar serta dapat memberi faedah langsung kepada rakyat selain cuba untuk mengimbangi kesan kemelesetan ekonomi.

Katanya, walaupun dunia dijangka menghadapi zaman sukar namun kerajaan negeri tidak mengurangkan belanjawan sekalipun pungutan hasil akan menjadi semakin sukar.

''Peruntukan pembangunan, kita cadangkan sebanyak RM900 juta dan bajet pengurusan RM924 juta.

''Perbelanjaan pembangunan akan mengaktifkan kitaran ekonomi dan dapat mewujudkan rantaian ekonomi yang boleh meredakan keadaan. Dengan adanya peruntukan projek-projek kecil akan memastikan kontraktor kecil tidak gulung tikar dan usahawan kecil terus mendapat tempahan," katanya semasa membentangkan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, anggaran bajet tahun depan meningkat berbanding RM1.673 bilion tahun ini bertujuan memastikan segala projek pembangunan lebih menjurus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat berjalan lebih lancar.

Katanya, daripada angka tersebut sebanyak RM43.02 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan manakala RM1.756 bilion Perbelanjaan Bekalan.

Menurutnya, dalam Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM219.47 juta adalah untuk Emolumen, perkhidmatan dan bekalan (RM155.69 juta), aset (RM42.04 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.338 bilion) dan RM1.16 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

Menurutnya, bagi kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula telah mencatat defisit RM79.16 juta pada 31 Disember 2007 berbanding baki sebanyak RM154.12 juta pada tahun 2006.

Beliau berkata, kedudukan Kumpulan Wang Bekalan Air telah bertambah sebanyak RM7.92 juta kepada RM134.72 juta pada 31 Disember 2007, dengan peningkatan sebanyak 5.99 peratus dari RM127.10 juta pada tahun sebelumnya.

''Walaupun ketidaktentuan ekonomi dunia dan harga minyak mentah belum lagi stabil, kita perlu merancang dan membuat anggaran sebaik mungkin. Dengan mengambil kira faktor-faktor yang jelas pada waktu ini adalah dianggarkan kita dapat memungut sebanyak RM1.799 bilion," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url