Dunia 2008 penuh harapan dan tragedi

Pentas dunia sepanjang 2008 pastinya akan dikenang sebagai satu perjalanan masa yang sarat dengan pelbagai peristiwa dan sebahagian besar daripadanya bakal terpahat dan kekal dalam lipatan sejarah tamadun manusia.

Di sebalik pelbagai kisah suka dan duka sepanjang tahun ini, perhatian seluruh dunia bagaimanapun lebih tertumpu kepada perjalanan seorang warga Afrika-Amerika, Barack Obama dalam percubaan mencipta sejarah sebagai warga kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

Obama yang pada awal kemunculannya sering dikaitkan dengan tokoh kulit hitam seperti Martin Luther King dan Malcom X yang terkandas dalam percubaan merentasi tembok perkauman di negara berusia 232 tahun itu, membuktikan sebaliknya apabila secara rasmi bakal bergelar Presiden AS yang baru bermula 20 Januari ini.

Pemilihan Obama disambut dengan penuh harapan oleh masyarakat seluruh dunia untuk melihat satu pembaharuan dan perubahan terutamanya berhubung dasar luar AS yang tidak mesra di bawah pentadbiran George W. Bush.

Ironinya, Bush menjelang hari-hari terakhir sebagai Presiden AS juga mendapat perhatian luar biasa rentetan peristiwa beliau dibaling kasut sewaktu berucap dalam lawatan perpisahan di Iraq, yang turut diraikan seluruh dunia.

Ketika pentas politik di kebanyakan negara lebih diwarnai oleh konflik yang berlanjutan dari tahun-tahun sebelumnya, rantau Afrika bagaimanapun mencuri perhatian antarabangsa dengan beberapa permasalahan dalaman yang mencetus implikasi kemanusiaan yang buruk.

Kemelut di rantau Afrika sepanjang 2008 berkisar kepada tiga isu utama iaitu konflik kemanusiaan yang semakin meruncing di Congo, permasalahan lanun di Teluk Aden, Somalia dan konflik politik yang tidak berkesudahan di Zimbabwe.

Krisis kemanusiaan di Congo yang dibimbangi akan mewujudkan Darfur kedua, kembali memuncak selepas kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Jeneral Laurent Nkunda melakukan aksi keganasan menentang kerajaan.

Krisis tambah rumit apabila turut melibatkan kepentingan beberapa buah negara bersempadan termasuk Rwanda, Uganda dan Burundi yang cuba menguasai kekayaan Congo.

Bagaimanapun koflik yang paling dibimbangi boleh mendorong kepada krisis kemanusiaan paling buruk ialah pergeseran etnik antara kaum Hutu dan Tutsi yang masih membara rentetan peristiwa pembersihan etnik yang berlaku di Rwanda pada 1994.

Selain krisis Congo, kemelut politik dan perebutan kuasa di Zimbabwe juga secara tidak langsung menjejaskan kestabilan dan keamanan di rantau berkenaan.

Keenganan Presiden Robert Mugabe menyerahkan kekuasaan kepada Morgan Tsvangirai selepas tewas dalam pilihan raya umum pada Mac, meruntuhkan kerajaan Zimbabwe. Kegagalan kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas pilihan raya itu juga mengheret negara berkenaan ke kancah kegawatan ekonomi terburuk dengan kadar inflasi tertinggi di dunia iaitu sehingga 200 juta peratus. Negara di selatan Afrika itu sekali lagi diuji dengan krisis penyakit apabila berdepan dengan wabak kolera yang sehingga kini membunuh sehingga 1,000 nyawa.

Peristiwa rampasan kapal yang semakin berleluasa di Teluk Aden, Somalia pula menambah kepada permasalahan di Afrika apabila secara tidak langsung membuka ruang kepada campur tangan kuasa asing di negara yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam itu.

Bagaimanapun, tindakan seperti yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dilihat penyelesaian terakhir selepas kira-kira 65 buah kapal perdagangan dirampas dengan kerugian akibat pembayaran wang tebusan melebihi RM100 juta.

Pergeseran

Konflik di Asia Barat pula kekal menjadi isu tanpa penyelesaian meskipun 2008 menyaksikan beberapa usaha perdamaian dirintis oleh pelbagai pihak termasuk Mesir dan Liga Arab.

Bagaimanapun, krisis yang berlanjutan antara Palestin dan Israel sejak 60 tahun serta pergeseran antara Hamas dan Fatah sehingga kini tidak membawa sebarang harapan yang baru.

Hamas dan Fatah masih lagi gagal mencari titik persefahaman bagi membolehkan sebuah kerajaan perpaduan dibentuk di Palestin selepas pilihan raya 2006 yang dimenangi oleh Hamas, dinafikan kerana tidak mendapat sokongan AS dan Israel.

Usaha membentuk Kerajaan Perpaduan Palestin antara Fatah dan Hamas pula dilihat sangat sukar apabila kedua-dua pihak berbeza pendirian terutamanya berhubung kedudukan Israel dan kepentingan Palestin.

Perbezaan itu jugalah yang menyukarkan usaha perdamaian yang sebelum ini sudah beberapa kali dicapai antaranya menerusi perjanjian Makah 2007, dokumen persetujuan kebangsaan Palestin dan persidangan San'a di Yemen.

Perdamaian antara Hamas dan Fatah itu dicari sebelum Palestin mengadakan pilihan raya legislatif pada Januari ini selepas berakhirnya mandat Presiden, Mahmoud Abbas.

Di sebalik ketidakpastian sebuah kerajaan di Palestin, Israel pula berganti Perdana Menteri apabila Tzipi Livni memenangi pemilihan dalam Parti Kadima, bagi mencari pengganti Ehud Olmert yang meletakkan jawatan kerana tuduhan terbabit dengan rasuah dan pecah amanah.

Bagaimanapun nasib Palestin di tangan Perdana Menteri wanita kedua selepas Golda Meir itu diramal tidak menjanjikan sesuatu yang positif, kerana Livni juga dilihat akan meneruskan legasi kepimpinan Perdana Menteri Israel terdahulu dalam menekan rakyat Palestin.

Iran pula kekal memberi ancaman terhadap Israel termasuk dalam ketegangan yang mencetuskan kebimbangan terhadap peperangan, seperti yang digambarkan oleh Menteri Pengangkutan Israel, Shaul Mofaz, pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun ancaman itu disambut oleh Iran dengan jaminan untuk memulangkan sesuatu yang sangat menyakitkan jika negara Yahudi itu melancarkan serangan, sekali gus meningkatkan kebimbangan AS khususnya terhadap kemampuan teknologi nuklear yang dimiliki oleh Teheran.

Bagaimanapun, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang terkenal dengan pendirian keras dan lantang terutama dalam mempertahankan aktiviti nuklear Iran berdepan dengan sokongan yang berbelah bahagi di dalam negara lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya Presiden tahun depan.

Di sebelah Asia Timur pula, hubungan diplomatik Korea Utara dan Korea Selatan yang masih berstatus perang sejak Perang Korea 1951-1953, kembali meruncing sehingga mencetus kepada kebimbangan perang ekoran usaha konfrontasi kumpulan tertentu di wilayah bersempadan di bahagian selatan.

Provokasi Pyonyang sehingga sanggup menghancurkan Seoul menjadi negara yang berkeping-keping dalam menangani konfrontasi itu meskipun bukanlah sesuatu yang baru, namun tetap meletakkan pasukan ketenteraan kedua-dua buah negara dalam keadaan bersiap siaga.

Isu pengembangan aktiviti nuklear dan kebencian terhadap dinasti komunis Korea Utara menjadi sentimen utama dalam ketegangan itu, namun ramai penganalisis menilai, reaksi keras Pyonyang lebih kerana tertekan dengan masalah kesihatan pemimpin Kim Jong-Il.

Status kesihatan Kim Jong-II yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini menimbulkan persoalan mengenai dasar dan hala tuju Pyongyang pada masa depan, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan Korea Utara.

Konflik di Ossetia Selatan yang secara tiba-tiba meletus pula mencuri perhatian antarabangsa yang selama ini tidak lagi diingatkan bahawa pernah wujud ketegangan di wilayah bersempadan antara Georgia dan Russia itu.

Georgia dalam mewajarkan serangan itu mengaitkannya dengan sejarah konflik yang tercetus sejak 1989 apabila wilayah berkenaan secara rasmi mengisytiharkan sebagai sebuah republik autonomi ketika masih lagi merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun dalam peperangan terbaru di Ossetia Selatan itu, kebanyakan penganalisis berpendapat ia lebih kepada peranan AS dan NATO untuk memperluaskan kuasa di wilayah tersebut menerusi Georgia yang sememangnya merupakan sekutu rapat AS.

Hakikatnya, percubaan itu terpaksa dibayar dengan harga diri dan maruah yang tinggi oleh AS apabila Russia berjaya mengusir Georgia, sekali gus memberikan isyarat kepada dunia mengenai kebangkitan negara itu sebagai kuasa besar yang mampu membayangi AS.

Kemelut

Rantau ASEAN sepanjang tahun ini pula lebih tertumpu kepada kemelut politik dalaman di Thailand yang berganti tiga Perdana Menteri dalam tempoh hanya empat bulan, dalam pencarian pengganti Thaksin Shinawatra yang digulingkan menerusi rampasan kuasa pada 2006.

Samak Sundaravej, Somchai Wongsawat dan terbaru Abishit Vejjajiva, saling berganti tampuk pemerintahan negara dalam upaya mencari titik kestabilan politik dan keamanan selepas Bangkok dilumpuhkan dalam aksi protes besar-besaran oleh kumpulan Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD).

Ketidakstabilan politik Thailand mengalih perhatian kerajaan terhadap isu pergolakan di wilayah selatan Thailand, yang terus menyaksikan serangan berdarah terutamanya di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Selain kemelut politik dalaman, Thailand sepanjang 2008 turut diuji dalam hubungan diplomatiknya dengan Kemboja, berhubung isu perebutan kuil Preah Vihear yang menyaksikan pertempuran di kalangan pasukan keselamatan kedua-dua buah negara.

Perebutan kuil yang berusia 900 tahun yang turut menjejas citra ASEAN itu memaksa beberapa negara termasuk Malaysia menawarkan diri sebagai pengantara namun ditolak oleh Thailand yang yakin isu itu boleh diselesaikan secara bilateral.

Selain daripada percaturan kuasa dan politik, dunia 2008 juga tidak sunyi daripada beberapa peristiwa letupan bom dan serangan pengganas yang kebanyakannya dikaitkan dengan kumpulan pejuang Islam.

Al-Qaeda, Taliban, Lashkar e-Taiba, Deccan Mujahiddin, Jemaah Islamiah (JI) dan beberapa kumpulan pejuang Islam lain kekal dalam senarai pengganas paling dikehendaki oleh kuasa Barat terutamanya AS ekoran beberapa siri serangan yang dilancarkan sepanjang tahun 2008.

Iraq, Pakistan dan India pula menjadi antara negara yang paling kerap digegarkan dengan letupan bom, manakala wilayah selatan Thailand dan Filipina juga tidak terkecuali berada dalam kawalan keselamatan yang tinggi.

Antara tragedi keganasan yang mengejutkan dunia ialah serangan di Mumbai, India yang membunuh kira-kira 200 nyawa yang disasarkan di 10 kawasan strategik serta mempunyai kaitan dengan kepentingan Barat dan Yahudi di bandar raya ini termasuk di hotel Taj Mahal.

Turut menarik perhatian dunia ialah serangan bom di Hotel Marriot di Islamabad, yang membunuh 60 orang, iaitu selepas beberapa jam Presiden baru Pakistan, Asif Ali Zardari berucap buat pertama kalinya di Parlimen.

Dunia sepanjang 2008 juga bakal dikenang sebagai tahun yang penuh dengan bencana alam apabila tiada satu pun tragedi yang memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan alam terlepas daripada catatan.

Ribut salji, kemarau, banjir besar, taufan, tanah runtuh, gempa bumi dan tsunami silih berganti memenuhi diari sepanjang tahun ini dengan angka korban mencecah kira-kira 230,000 orang dan meninggalkan 130 juta yang lain dalam keadaan menderita.

China menjadi negara yang paling buruk dilanda bencana alam sepanjang tahun lalu apabila dilanda ribut salji seawal minggu ketiga Januari, gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Richter yang mengorbankan 67,000 penduduk pada bulan Mei dan banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun negara itu sebulan kemudiannya.

Sepanjang 2008 juga, nama-nama seperti Gustav, Hanna, Ike, Fay, Fengshen, Nargis dan Hagupit menjadi mimpi ngeri kepada sebahagian besar daripada penduduk di kebanyakan negara.

Gelaran yang diberikan kepada bencana alam taufan yang sangat dahsyat itu membadai beberapa buah negara, paling banyak di AS, meninggalkan kesan kemusnahan yang sangat menyayat hati selain membunuh ratusan ribu nyawa.

Daripada sejumlah taufan itu juga, Nargis bakal diingati sebagai yang paling ganas apabila mengorbankan kira-kira 85,000 nyawa, manakala 53,000 lagi hilang apabila merempuh Delta Irrawaddy dan bandar Yangon di Myanmar.

Dengan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2008 yang sebahagian besarnya dikenang sebagai tragedi hitam, tiada yang lebih diharapkan oleh masyarakat dunia melainkan sebuah dunia yang lebih baik sepanjang 2009.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url