Bantu kerajaan hadapi kesan krisis ekonomi
Petunjuk awal perihal kesan kegawatan ekonomi di negara kita telah pun ada.
Sektor perindustrian misalnya telah memulakan langkah pengurangan pekerja dan pemain-pemain dalam industri perkilangan mula mencari tapak baru. Bagi mereka negara yang menawarkan tenaga buruh bergaji rendah menjadi pilihan lantas mengorak langkah memindahkan operasi ke destinasi baru.
Pekerja-pekerja kilang sudah terasa bahang krisis ekonomi sejak beberapa bulan dulu, apabila tawaran pemberhentian kerja secara sukarela mula diedarkan oleh majikan masing-masing.
Petunjuk awal itu dipercayai akan menjadi lebih serius pada suku pertama tahun depan ketika kesan krisis ekonomi tidak dapat dibendung lagi.
Jumlah 4,749 pekerja yang menunggu masa untuk diberhentikan dijangka meningkat berkali-kali ganda menyumbang kepada kelembapan ekonomi dalam negara.
Keadaan itu akan mewujudkan suasana sukar bukan sahaja kepada pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan malah di pihak kerajaan yang terpaksa memikirkan jalan terbaik untuk membantu mengatasi masalah tersebut.
Dan persediaan rapi untuk menghadapi suasana gawat itu mesti dirancang secara terperinci untuk meminimumkan kesan krisis ekonomi dan pada yang sama mendidik rakyat Malaysia supaya berdikari.
Program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan seperti yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri hendaklah benar-benar sesuai dan membantu bakal penganggur mengurangkan penggantungan kepada kerajaan.
Begitu juga dengan pemberian elaun bulanan mesti mengambil kira kesungguhan seseorang pekerja mengikuti program latihan semula itu dan bukannya hanya untuk mendapatkan elaun semata-mata.
Sesungguhnya dalam kita berusaha menyelamatkan pekerja-pekerja yang diberhentikan, kos yang dikeluarkan hendaklah jangan sampai membebankan pihak kerajaan sehingga mewujudkan krisis kewangan yang akan memburukkan lagi keadaan.
Sudah tiba masanya pekerja-pekerja di Malaysia diingatkan supaya tidak selesa dengan kerja sedia ada kerana kegawatan ekonomi yang muncul secara tiba-tiba memungkinkan segala-galanya.
Rakyat Malaysia mesti bersedia untuk menjadi 'multitasking'. Selain berperanan sebagai pekerja di sektor awam dan swasta misalnya, nilai-nilai keusahawan dan bersedia untuk berdikari mesti ada pada setiap pekerja.
Bahawa dalam keadaan dunia yang semakin getir dan cabaran ekonomi yang sukar ditangkis, setiap rakyat Malaysia mesti menjadi kreatif dan inovatif serta mengurangkan pergantungan kepada kerajaan.
Sikap positif dan bersedia untuk berubah juga mesti menjadi pegangan pekerja-pekerja di negara ini tanpa mengira di sektor mana mereka berada.