Ekonomi 2009 dijangka tahun sukar

Ekonomi Asia Pasifik bakal melalui kesukaran tahun depan memandangkan permintaan luar yang lemah menjejaskan prestasi eksport dan pelaburan di rantau itu.

Dalam satu laporan berkaitan Tinjauan Masa Depan Asia Pasifik 2009, yang dikeluarkan di sini hari ini oleh ahli ekonomi Moody's Economy.com, Sherman Chan berkata, separuh kedua 2008 adalah sukar, tetapi 2009 akan menjadi semakin mencabar.

"Langkah dasar fiskal dan monetari yang agresif mungkin membantu mengelakkan ekonomi daripada terjerumus kepada keadaan yang lebih teruk, tetapi hampir sepanjang tempoh 2009 akan dirasai seakan-akan kemelesetan dalam kebanyakan ekonomi Asia Pasifik," katanya.

Chan berkata, tiada ekonomi yang terlepas daripada kesan kelembapan yang diterajui AS.

"Pertumbuhan dijangka turun dengan mendadak dalam separuh pertama 2009, ekoran semua aktiviti ekonomi kehilangan tenaga.

"Ekonomi yang terlibat dalam kemelesetan akan terus menyaksikan keadaan yang terjejas teruk hampir sepanjang tempoh tahun berkenaan," katanya.

Katanya, ekonomi Asia Pasifik bakal mencatatkan pertumbuhan yang lembap pada 2009 dan mengalami penguncupan sepenuhnya.

Chan berkata, pengangguran yang kian meningkat akan mengurangkan penggunaan persendirian.

Katanya, trend eksport akan bertukar menjadi perlahan pada separuh pertama tahun itu dan rangsangan fiskal dan dasar monetari yang terus menurun akan dilaksanakan.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url