175 terperangkap buaian roda Singapura terhenti
Pihak berkuasa Singapura hari ini menjalankan siasatan berhubung satu kejadian kebakaran dalam bilik kawalan buaian roda terbesar di dunia, yang menyebabkan kira-kira 175 pelancong terperangkap dalam buaian itu selama enam jam di udara.
Kebakaran malam tadi menyebabkan bekalan elektrik kepada buaian roda Singapore Flyer setinggi 42 tingkat itu terputus dan penumpang terperangkap selama enam jam, sebelum bekalan elektrik dipulihkan.
Pasukan penyelamat menurunkan 10 orang penumpang menggunakan ambin dalam operasi dramatik, manakala penumpang lain menunggu di dalam gerabak tertutup sebesar bas mini itu.
Mereka diturun dari gerabak buaian itu apabila bekalan elektrik pulih dan buaian berputar semula.
Polis berkata, mereka mengarahkan tumpuan penumpang itu ditutup, sementara siasatan dijalankan.
Kejadian itu merupakan kali keempat bekalan elektrik Sningapore Flyer terputus sejak pembukaan buaian roda itu awal tahun ini.
Pengurus Besar Singapore Flyer, Steven Yeo berkata, sejumlah 173 penumpang menaiki buaian itu apabila berlaku satu kebakaran kecil menyebabkan bekalan elektrik terputus.
"Saya menyukai Singapura tetapi saya tidak fikir saya akan menaiki Flyer lagi," kata seorang pelancong Indonesia, Meta Hartono.
Beliau menceritakan tentang keadaan penumpang yang terperangkap terpaksa membuang air kecil di dalam beg plastik ketika tergantung di udara sementara menunggu untuk diselamatkan.
Pada ketinggian 165 meter, Singapore Flyer adalah 30 meter lebih tinggi daripada buaian roda London Eye di Britain.
- AFP