Filem Los dan Faun - komedi bijak & matang
Arahan: Afdlin Shauki
Lakonlayar: Afdlin Shauki
Pelakon: Hans Isaac, Adlin Aman Ramlie, Erra Fazira, Ida Nerina, AC Mizal, Afdlin Shauki, Steven Rahman Hughes, Khir Rahman, Noorkhiriah, Shoffi Jikan dan ramai lagi.
Dengan Los dan Faun, Afdlin Shauki semakin mengukuhkan dirinya sebagai pengarah filem genre komedi yang bukan sahaja prolifik, tetapi berkemampuan menghasilkan komedi yang matang dan dalam kelasnya yang tersendiri.
Sejak mengarahkan filemnya yang pertama, Buli (2004) hingga tahun 2008 Afdlin telah mengarahkan sebanyak lima buah filem iaitu Baik Punya Ciluk, Buli Balik, Sumolah dan Los dan Faun.
Komedi Afdlin bukan filem komedi slapstik dengan aksi kasar dan terasa dibuat-buat untuk mencipta kelucuan. Malah, setiap kali kita menonton filem komedi Afdlin kita bukan sahaja cukup terhibur dengan persembahan komedi yang bijak dan matang, tetapi elemen dramatiknya juga mampu menjentik emosi keharuan.
Elemen-elemen ini dapat dilihat melalui filem Sumolah dan Baik Punya Cilok. Kekuatan filem-filem komedi Afdlin adalah kerana kekuatan skripnya.
Watak-watak yang menjadi sumber kekuatan plot dalam skrip-skrip filem-filem Afdlin adalah penampilan watak-watak urban (walaupun sebahagiannya datang dari desa) dengan latar yang pelbagai tetapi dapat dijalin dengan baik dan menarik.
Tema persahabatan
Penampilan watak-watak urban ini penting disebabkan Afdlin akan membawakan unsur dan nilai komedi yang mudah diterima oleh masyarakat bandar yang mahukan bentuk komedi yang bijak serta tidak merendahkan intelektual penonton.
Dengan penampilan watak-watak urban ini juga Afdlin berjaya membuka wataknya kepada semua kaum. Atas sebab itu juga, filem-filem Afdlin boleh diterima dengan mudah oleh semua kaum di negara ini.
Dalam Los Dan Faun Afdlin sekali lagi kekal mengangkat tema yang sama tetapi dengan pendekatan yang berbeza.
Sebenarnya hampir kesemua filem Afdlin bermula dengan tema persahabatan dan plotnya bergerak tentang bagaimana hubungan persahabatan itu menghadapi pelbagai masalah dalam menghadapi kelangsungan hidup sehingga menguji erti kesetiaan dan makna persahabatan mereka.
Los Dan Faun mengisahkan tentang Carlos Rodrigo (Hans Isaac) seorang pemuda Serani dan Ahmad Faun Sulaiman (Adlin Aman Ramlie), dua sahabat baik sejak dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memperbaiki hidup mereka.
Mereka bermula dengan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai menjual pakaian adalam wanita, tetapi kejujuran Faun dalam urus niaga dengan pelanggan menyebabkan akhirnya mereka berhadapan dengan lebih banyak masalah.
Mereka akhirnya dipecat tetapi kebolehan Faun yang luar biasa hingga berjaya mengesan dompet tuan punya kedai yang hilang telah memberi idea untuk Los membuka agensi menjejak barangan yang hilang.
Populariti perkhidmatan agensi ini daripada pengiklanan yang dilakukan agensi di akhbar dan televisyen menyebabkan mereka telah diminta oleh seorang wanita Datin Jasmin (Erra Fazira) untuk mencari jam tangan suaminya Tuan Sofarudin Al Sogood (Afdlin Shauki) berharga RM40 juta yang telah hilang.
Daripada bayaran komisen yang dijanjikan akan menjadikan mereka kaya, tetapi malangnya keupayaan Faun menjejak barangan yang hilang juga semakin lemah.
Adegan dalam plot seterusnya memperlihatkan konflik dan kilasan plot yang menarik dengan munculnya watak-watak agen insuran Dick Johnson (Rahman Hughes) dan pembantunya Amran Askor (Khir Rahman) yang sebenarnya berkomplot dengan Datin Jasmin bukan sahaja dalam kehilangan jam tetapi juga kematian Tuan Sofarudin.
Cukup menghiburkan
Kemunculan watak Serena Mysterina (Ida Nerina) seorang GRO dan juga pemain silap mata, serta peranan Jeffri (AC Mizal) sebagai adik kepada Tuan Sofarudin meningkatkan lagi unsur dramatik dan konflik kerana semuanya mempunyai rahsia serta kepentingan yang mempunyai kemungkinan terlibat dalam komplot kecurian tersebut.
Judul filem Los Dan Faun walaupun diambil daripada nama watak-watak utamanya, tetapi ia juga membawa bunyi sebutan yang bererti hilang dan jumpa (Lost and Found) dalam bahasa Inggeris.
Hilang dan jumpa juga adalah dasar cerita filem ini yang mengisahkan tentang keupayaan agensi Los dan Faun menjumpai barang yang hilang.
Oleh itu judul Los Dan Faun bukan sekadar judul, tetapi juga sudah menterjemahkan konsep dan dasar cerita filem ini.
Watak-watak dalam Los Dan Faun bukanlah watak pelawak tetapi watak-watak yang serius dengan latar belakang yang kuat tetapi mereka mempunyai kelemahan yang tersendiri.
Kelemahan yang membawa kelucuan itu dieksploitasi secara cukup bijak oleh Afdlin yang menulis lakon layar daripada skrip yang ditulis oleh Christina Orow.
Struktur plot Los Dan Faun mengambil bentuk daripada kisah Sherlock Holmes yang mana akhiran ceritanya akan menjelaskan komplot dan kepentingan watak yang terlibat dalam sesuatu kejadian jenayah.
Faun dengan keupayaannya yang luar biasa itu akhirnya berjaya merungkaikan jenayah yang dilakukan oleh watak-watak yang terlibat.
Skrip Los Dan Faun sebenarnya memberikan pelbagai kemungkinan yang menarik dan memeranjatkan boleh berlaku pada setiap watak sepertimana dalam kisah-kisah penyiasatan Sherlock Holmes.
Ini kerana, watak-watak tersebut muncul dengan rahsia kepentingan peribadi yang memungkinkan tindakan mereka.
Tetapi yang wajar dipuji adalah keupayaan Afdlin mengangkat dan menjalin watak-wataknya untuk menghasilkan sebuah plot filem komedi yang menarik.
Dalam Los Dan Faun, Afdlin menjadi tukang cerita yang berkesan dan cukup menghiburkan, tetapi disebalik tabir komedinya dan antara ketawa dia menyisipkan sindiran sosial yang halus.
Daripada sejumlah besar filem-filem komedi kita, banyak yang merendahkan intelektual penonton.