Bahasa Melayu penyatu bangsa
Perjuangan tidak berakhir dengan termetrainya sesuatu bahasa itu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sebaliknya, perjuangan berterusan dan bergerak seiring dengan perjuangan bangsa untuk menjadi negara bangsa yang perkasa.
Bangsa yang berjiwa besar dan tidak terperangkap dalam jiwa kerdil akan sentiasa berusaha untuk memperkasa bahasa kebangsaannya. Sebagai sebuah negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama setengah abad, Malaysia masih lagi dalam proses membentuk keperibadiannya sebagai satu bangsa.
Bahasa Melayu merupakan tonggak emosi dan ketaatan rakyat Malaysia kepada negara ini. Inilah bahasa yang menentukan kelangsungan dan perpaduan kebangsaan sejak dahulu, kini dan untuk selama-lamanya.
Bahasa Melayu akan terus menjadi tonggak utama kekuatan bangsa, serta alat pengucapan budaya dan tamadun yang mampu memikul dan mengisi agenda bangsa, dan menangani perubahan dan keperluan masyarakat dan negara.
Keamanan, persefahaman, dan perpaduan yang kita capai selama ini adalah berkat kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, dan sebagai bahasa rasmi negara. Tidak mungkin bahasa lain dapat mengambil alih tempat bahasa Melayu, kerana inilah bahasa yang dekat di hati rakyat. Nasionalisme bangsa harus terus dipupuk melalui bahasa Melayu.
Bahasa Melayu menjadi lambang jati diri dan kebanggaan rakyat, dan kecintaan terhadapnya harus disemarakkan. Tidak dapat disangkal bahawa bahasa merupakan salah satu ciri atau penanda jati diri yang penting.
Identiti dari segi bahasa dapat ditinjau dari pelbagai perspektif dan konteks, termasuk fizikal, stilistik, psikologi, sosial, etnik dan nasional. Jiwa besar sesuatu bangsa turut diukur dari segi sikap, amalan dan kebanggaan mereka terhadap bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Rasa bangga inilah yang akan dapat menyemai dan mengukuhkan rasa nasionalisme dan rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.
Bangsa yang tanpa bahasa kebangsaan adalah umpama manusia yang tidak mempunyai jiwa dan roh. Itulah sebabnya, amat penting bagi negara yang mencapai kemerdekaan untuk memilih bahasa kebangsaannya.
Kegagalan memilih bahasa pribumi, sebaliknya memilih bahasa asing sebagai bahasa kebangsaan, telah banyak menimbulkan masalah dalam pembangunan bangsa termasuk di 40 buah negara di Afrika, di Asia dan Amerika Selatan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal masing-masing.
Alexis de Tocqueville menyatakan, 'ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yagn paling teguh dan paling tahan lama dapat menyatukan manusia'.
Bahasa Melayu memainkan peranan penting bagi membentuk sikap baharu yang bertunggakkan persefahaman dan persaudaraan senegara sehingga terbentuknya bangsa Malaysia moden. Bahasa Melayu yang digunakan dalam sistem pendidikan negara dan digunakan dalam konteks formal dan tidak formal tentu berupaya menghakiskan etnisisme yang merantai hampir semua ranah dan ciri kehidupan seharian masyarakat majmuk Malaysia.
Keperibadian
Kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama. Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa "adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh".
Apakah yang akan terjadi jika kita tidak memiliki satu bahasa yang dapat difahami dan dikuasai oleh seluruh rakyat sebagai alat penyatu dan pengikat jiwa rakyat? Mungkinkah kita mencapai perpaduan dan kestabilan sosio politik dan seterusnya kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi? Dengan alat apakah kita dapat memenuhi impian untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu padu?
Yang jelas, tanpa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara ini tentu berdepan dengan pelbagai gejala negatif seperti salah faham, prasangka kaum, ketegangan dan krisis. Kestabilan sosial dan politik tentu sukar dicapai tanpa bahasa kebangsaan, kerana tidak terdapat satu bahasa yang dapat bertindak sebagai tali pengikat jiwa dan raga.
Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Tentu amat berbahaya apabila bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan dilihat oleh penggunanya sebagai tanda kemunduran, atau sebagai penghalang kemajuan dan peningkatan status sosial mereka.
Bahasa Melayu tetap akan berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat pelbagai kaum, tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang. Bahasa Melayu sebagai bahasa watan telah mampu merapatkan atau menimbuskan pelbagai jurang. Ia bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi wahana pengikat sosial, merentasi dinding kaum, geografi, status penduduk. Bahasa lain tidak mungkin dapat mengambil alih peranan itu.
Tetapi mengapakah bahasa Melayu sering diremehkan peranan dan kedudukannya, termasuk oleh pemimpin dan orang Melayu sendiri?