Keenakan nasi ayam Hentian Simpang Pulai
Pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sudah pasti tidak akan lupa untuk singgah ke kedai nasi ayam di Hentian Simpang Pulai arah utara dekat Ipoh, Perak.
Apa tidaknya, nasi ayam di salah satu gerai di situ masih dijual pada harga RM3.50 sepinggan berbanding dengan harga nasi ayam yang dijual di tempat lain.
Selain itu, rasanya yang begitu menyelerakan menyebabkan nasi ayam berkenaan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan sejak tahun 2006.
Pemilik gerai itu, Basree Bustaman, 39, berkata, rahsia keenakan nasi ayamnya adalah kerana menggunakan lebih 10 campuran herba semata-mata untuk memasak supnya sahaja.
Katanya, campuran herba itu diadun bagi membolehkan keenakannya berlainan dengan nasi ayam yang di jual di tempat lain.
Menurutnya, sos yang digunakan untuk membuat nasi ayam di gerainya itu juga menggunakan cabai kering yang telah dimasak berbanding dengan sos biasa yang menggunakan cabai hidup.
''Apabila diadunkan dengan lebih 10 rempah ratus, nasi ayam yang saya jual secara automatik jadi sedap dan menyelerakan. Secara purata saya menjual lebih 200 pinggan nasi ayam setiap hari.
''Kalau lihat sambutan yang diterima memang menggalakkan terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah," katanya ketika ditemui di sini.
Basree memberitahu, dia mempelajari cara-cara menyediakan nasi ayam daripada mereka yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan itu sejak beberapa tahun lalu sebelum mengambil keputusan nekad menceburi perniagaan tersebut.
Isterinya, Noor Nawila Aris, 25, turut sanggup membantunya memasak nasi ayam di gerainya itu.
Kata Basree, gerainya di No 8, itu dibuka 24 jam membabitkan 12 pekerja dan ia sudah terkenal kepada para pelanggan yang pasti tidak lupa untuk singgah di situ.
Sementara itu pelanggan yang ditemui turut berpuas hati dengan keenakan nasi ayam tersebut malah sudah ada yang 'ketagih' untuk menikmati nasi ayam berkenaan.
Salah seorang pelanggan, Hussein Ahmad, 35, berkata, nasi ayam itu sungguh lazat dan apa yang lebih istimewa dan menarik ialah kerana harganya masih murah.
''Saya memang puas hati dengan nasi ayam di sini. Saya selalu singgah makan nasi ayam di sini kerana sup ayam di sini mempunyai keenakan tersendiri," katanya.