Terminal Klang Sentral operasi 27 Disember 2008
Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Razali Hassan berkata, keputusan memindahkan operasi kedua-dua hentian bas itu dilakukan selepas mendapati pemaju terminal baru berkenaan, NPO Development, menepati hampir kesemua spesifikasi yang ditetapkan MPK.
"Mungkin pemaju perlu memperbetulkan satu dua perkara sebelum terminal itu dibuka. Bagaimanapun, pembukaan terminal yang mendapat persetujuan semua pihak terutamanya pengusaha bas dan teksi akan tetap dilakukan Sabtu ini," katanya.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Stesen Bas Klang Utara ke Terminal Bas Klang Sentral ditemui selepas menghadiri mesyuarat bulanan MPK di sini semalam.
Terminal Bas Klang Sentral di Jalan Meru yang bernilai RM300 juta terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar.
Langkah pemindahan operasi kedua-dua hentian bas itu merupakan sebahagian daripada usaha MPK untuk menguruskan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di tengah-tengah bandar Klang.
- Bernama