Larangan pasang bendera, poster di jambatan
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan bagi memastikan larangan itu dipatuhi.
Menurutnya, larangan tersebut dibuat setelah mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya.
''Pemasangan terlalu banyak poster, kain rentang dan bendera boleh mengganggu lalu lintas dan mencacatkan pandangan orang yang lalu-lalang.
''Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT agar memastikan larangan itu dipatuhi,'' katanya selepas merasmikan Majlis Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Dungun, Besut dan Marang di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung, Datin Wira Hamisah Ariffin; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Adzlan Mohd. Dagang dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Ditanya cadangan Pas untuk mengumumkan nama calon parti itu di Stadium Negeri pada 1 Januari ini, Ahmad berkata, pihaknya telah meluluskan permohonan yang dikemukakan.
Mengenai calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, beliau berkata, pemilihan beliau adalah tepat kerana memenuhi cita rasa pengundi serta kehendak akar umbi.
Menurutnya, berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang ditonjolkan dalam kepimpinannya selama ini, Wan Ahmad Farid mampu membawa cabaran BN dalam pilihan raya kali ini.