Profil Datuk Wan Farid


Pada 1972, kediaman Pegawai Daerah Kemaman, Datuk Wan Salleh Mahmud didatangi seorang peniaga yang kusut fikirannya disebabkan satu masalah permohonan kelulusan pelan.

Ketika itu yang berada di rumah hanyalah anaknya, (Datuk) Wan Ahmad Farid serta tiga adik beradiknya. Apabila diberitahu bapa tiada di rumah, peniaga terbabit menghulurkan setiap seorang anak Wan Salleh sebanyak RM10. Setibanya Wan Salleh di rumah dan dimaklumkan tentang perihal peniaga tadi, lantas dipanggilnya Wan Ahmad Farid. Duit RM40 yang diberikan si peniaga, diambil balik daripada tangan anak-anaknya dan dipulangkan semula.

''Saya masih ingat pesanan arwah ayah. Katanya setiap rezeki yang datang mestilah datang dari sumber yang halal kerana sumber inilah yang akan menjadi darah daging kita. Ayah ingatkan jangan sentuh duit haram kerana duit berkenaan dari segi fizikalnya sahaja duit tapi sebenarnya ia api neraka.

''Pesan ayah juga mahukan anak-anaknya sentiasa buat orang gembira, sekurang-kurangnya sekali dalam sehari, tak kiralah kita senyum dengan orang atau beri susu kepada kucing, insya-Allah, kalau kita menggembirakan makhluk-Nya, Allah akan menggembirakan kita," kata Wan Ahmad Farid, 46, kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau yang dinamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P.036 Kuala Terengganu kini yatim piatu. Wan Salleh, 73, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu meninggal dunia pada 2004 kerana sakit jantung dan setahun kemudian Wan Ahmad Farid menangisi pemergian ibunya, Allahyarham Zainab Mohd. Khalid, seorang ustazah yang mengajar di sekolah-sekolah agama sekitar Dungun, Marang dan Kemaman, akibat penyakit buah pinggang.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam politik, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu memberitahu, ia berputik semasa beliau menjadi peguam UMNO ketika mengendalikan petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung pada 1990.

''Bila saya jadi peguam parti, saya kena interviu ramai saksi dan ahli parti di peringkat akar umbi. Saya tidak jumpa ketua-ketua bahagian tetapi yang paling banyak adalah aktivis parti dan ketua-ketua cawangan. Jadi, banyak jugalah saya menyelami isi hati dan kekhuatiran akar umbi," katanya yang mempunyai seorang abang yang aktif dalam politik iaitu Wan Hisham yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Dengan pengumuman nama beliau sebagai calon BN di Kuala Terengganu, Wan Ahmad Farid dengan rasa rendah diri berharap ia akan menghidupkan kembali rangkaian sahabat-sahabat yang pernah terjalin suatu ketika dulu.

''Selama 18 tahun saya menjadi peguam di Terengganu, rangkaian sahabat ini bukan sahaja dari dalam parti tapi juga di luar yang memahami dan mengenali saya," katanya.

Bagi bapa kepada enam orang cahayamata, semuanya perempuan dari lingkungan umur satu tahun setengah hingga 19 tahun, hasil perkongsian hidup dengan Intan Baizura Abdul Wahab, 40, ini, tiada isu pembangunan di Kuala Terengganu.

''Kuala Terengganu bertaraf bandar raya, saya tidak fikir ada isu pembangunan di situ, kalau adapun cuma isu-isu tempatan antaranya masalah longkang yang belum diselesaikan," katanya.

Ditanya tentang dakwaan segelintir pihak bahawa pemilihannya sebagai calon disebabkan beliau 'orang Perdana Menteri', Wan Ahmad Farid berkata: ''Dalam pengumuman calon tempoh hari, Datuk Seri Najib (Tun Razak) ada sebut bahawa kedua-duanya (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib) sepakat yang saya dipersetujui oleh kedua-duanya, jadi tidak timbul soal tersebut.

''Saya bekerja dengan Pak Lah, apa yang boleh saya katakan...yang penting di sini tidak timbul soal orang Pak Lah tetapi yang utama, saya adalah wakil parti (pada pilihan raya kecil nanti)."

Bagi Wan Ahmad Farid, UMNO bukanlah tempat berlindung orang Melayu semata-mata tetapi juga untuk kaum-kaum lain.

''Sebab itu dalam lagu UMNO Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ada terselit lirik UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia," katanya.

Wan Ahmad Farid tidak kisah siapa beliau akan berdepan pada pengundian 17 Januari nanti.

Cuma, yang sangat diharapkan beliau ialah janganlah ada kempen yang memburuk-burukkan peribadi calon.

''Jangan ada kempen berasaskan 'pembunuhan karektor', saya telah minta jentera pilihan raya UMNO dan BN, jangan sesekali hentam peribadi lawan kita. Saya harap pembangkang pun begitu juga," tegas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url