Pas tetap perjuangkan hudud - Azizan

Pas tidak akan melupakan perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia adalah satu tuntutan dalam agama Islam dan asas perjuangan parti itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, walaupun Pas telah menyertai Pakatan Rakyat, ini tidak bererti parti itu telah mengabaikan hukum hudud.

"Isu hudud yang hangat diperkatakan sekarang hanya sekadar isu pilihan raya terutama menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari ini.

"Isu ini dah lama dan ia dikorek kembali setelah lama ditutup," katanya kepada Utusan Malaysia di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai janji Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menyatakan bahawa Pas akan tetap melaksanakan undang-undang hudud dan qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Bagaimanapun, cadangan Husam itu menerima kritikan daripada DAP yang merupakan sekutu Pas di dalam Pakatan Rakyat apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

Menurut Azizan, dalam Pakatan Rakyat, setiap parti iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai deklarasi dan perjuangan masing-masing.

Jelas beliau, setiap parti dalam Pakatan Rakyat boleh berjuang mengenai dasar masing-masing dan tidak bererti Pas perlu melupakan hukum hudud.

"Dalam Islam, solat adalah tuntutan bagi setiap umatnya. Sama seperti hudud yang merupakan tuntutan dalam Islam.

"Kita akan tetap laksanakan cuma pelaksanaannya nanti kena mengikut kesesuaian," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url