Wan Hisham turun padang bantu adik

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh (gambar) akan 'turun padang' membantu calon Barisan Nasional (BN) yang juga adiknya, Datuk Wan Ahmad Farid meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti.

Menurut Wan Hisham, beliau berbuat demikian bukan sahaja di atas tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO, malah juga sebagai abang kepada Wan Ahmad Farid.

Katanya, sebagai abang yang berpengalaman bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini, beliau akan sedaya upaya memastikan kemenangan berpihak kepada Wan Ahmad Farid.

''Wan Ahmad Farid adalah adik saya dan pada masa yang sama, saya juga mempunyai tanggungjawab dalam UMNO dan BN untuk memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Strategi

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, pihaknya telah merangka strategi untuk menarik sokongan pengundi Ladang.

Katanya, sejak pengumuman Wan Ahmad Farid sebagai calon BN, rumahnya di Panji Alam di sini menjadi tumpuan para penyokong UMNO.

''Saya yakin sokongan daripada pengundi DUN Ladang akan menyumbang kepada kemenangan Wan Ahmad Farid dan BN dalam pilihan raya kecil ini nanti," ujarnya.

Wan Hisham meminta para pengundi supaya tidak terpedaya dengan serangan peribadi terhadap adiknya termasuk mengatakan beliau seorang yang sombong, tidak mesra dan sukar didekati.

''Ini semua merupakan cubaan terdesak pihak-pihak tertentu untuk memburukkan adik saya sedangkan selama ini, saya melihat orang ramai mudah mendekati Wan Ahmad Farid ketika beliau menghadiri pelbagai majlis dan aktiviti," jelasnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url