Terengganu wujud T.Brand shop, kedai 24 jam tahun depan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, sebagai permulaan dua daerah telah dikenal pasti untuk diwujudkan T.Brand Shop iaitu di Kuala Terengganu dan Kemaman selewat-lewatnya Mei depan.
Menurut beliau, melalui kedai itu, masyarakat berpeluang mendapatkan produk makanan dan kerja tangan daripada pengusaha kecil yang akan dijual sebagai produk utama.
''Kedai itu turut menjual pelbagai barangan keperluan harian pengguna termasuk minuman dan majalah untuk menarik pengunjung," ujarnya selepas merasmikan Seminar Produk Halal anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di sini semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui YPU telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kedai itu serta sedang mencari ruang yang sesuai dan strategik untuk penubuhan di setiap daerah.
''Bagi memperkenalkan jenama T.Brand Shop, YPU akan menggunakan sistem francais yang diberikan kepada seorang usahawan untuk menggunakan jenama tersebut," katanya.
Menurut Mohamed, YPU juga akan mewujudkan pusat pengumpulan produk di setiap daerah bagi memudahkan pengusaha industri kecil dan sederhana terutama makanan ringan memasarkan produk mereka di samping meningkatkan mutu pembungkusan.
Katanya, kerajaan negeri melalui YPU memperuntukkan kira-kira RM150,000 bagi membeli mesin pembungkusan produk untuk memastikan makan ringan yang dihasilkan setanding pembungkusannya dengan makanan oleh syarikat besar.