WiMAX vs 3G
Di Malaysia, 3G digunakan sebagai teras perhubungan dan lebih diterima kehadirannya berbanding WiMAX kerana ia masih terlalu baru.
Mengapa masih tiada keterbukaan pengguna mengenai WiMAX? Adakah 3G lebih hebat atau pengguna belum memahami konsep WiMAX yang dianggap setara atau lebih berteknologi tinggi?
Teknologi generasi pertama (1G) dibangunkan akhir 1970 dan berterusan sehingga 1980-an. Manakala 2G pula dimulakan pada 1990, dibangunkan menerusi teknologi CDMA dan Sistem Global untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM).
Seterusnya, peningkatan teknologi diteruskan dengan kewujudan 2.5G atau dikenali sebagai rangkaian Data yang Dipertingkatkan untuk Evolosi GSM iaitu perkembangan rangkaian Perkhidmatan Radio Berpaket Am (GPRS) yang diperkenalkan kepada pengguna telefon bimbit menerusi sistem GSM.
Manakala, 3G adalah rangkaian generasi ketiga berdasarkan standard Persatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang digunakan di bawah IMT-2000.
Ia dianggap permulaan ke arah komunikasi tanpa wayar sama ada di talian tetap atau mudah alih. Rangkaian boleh diakses daripada pelbagai lokasi selagi ada liputan yang disediakan rangkaian 3G terbabit.
3G tidak memonopoli penggunaan suara semata-mata bahkan ia dicipta untuk komunikasi data bagi membolehkan pengguna menerima perkhidmatan rangkaian yang lebih luas seperti persidangan video, data jalur lebar tanpa wayar yang dibuat menerusi telefon bimbit.
WiMAX (Kebolehoperasian Sedunia bagi Capaian Gelombang Mikro) adalah teknologi telekomunikasi untuk mengakses Internet menerusi jaringan jalur lebar mudah alih tanpa wayar yang menghasilkan kelajuan melebihi 2 Megabit sesaat (Mbps).
Teknologi ini berdasarkan standard IEEE 802.16d untuk WiMAX talian tetap manakala 802.16e dikenali sebagai WiMAX mudah alih.
Ia dianggap teknologi baru yang mampu menguasai peralihan teknologi maklumat (IT) bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
WiMAX berpotensi untuk membina pasaran baru, mengubah skop Internet dan sebagai revolusi perubahan jaringan telefon bimbit.
Jika dilihat evolusi 3G dan WiMAX, 3G menerusi telefon bimbit lebih fokus kepada teknologi suara berbanding WiMAX 10 kali ganda kepada perkembangan teknologi data.
Oleh itu, 3G vs WiMAX boleh diumpamakan seperti suara vs data. Hakikatnya, kedua-dua teknologi ini saling melengkapi kekurangan masing-masing.
Secara konsepnya, WiMAX direka sebagai laluan untuk pengguna mengakses Internet dan bukannya menggantikan rangkaian telefon sedia ada.
Namun, kewujudan WiMAX yang mempunyai Internet Protocol (IP), menyokong kekuatan Quality of Service (QoS) dan keselamatan, WiMAX dianggap sebagai platform yang cemerlang untuk mengendalikan inovasi Suara menerusi Protokol Internet (VoIP).
Apabila WiMAX digabungkan dengan VoIP, ia boleh menjadi alternatif kepada teknologi 3G di telefon kerana dianggap berkesan menerusi lebar lajur, talian dan memudahkan perbualan suara sebagai aplikasi terbaru.
Disebabkan itu, WiMAX sering disalah erti sebagai teknologi yang bakal mengubah rangkaian telefon.
Ternyata silap! WiMAX cuma memudahkan pengguna untuk mencapai rayauan Internet yang meluas walau di mana jua pengguna berada.
Ketua Pegawai Eksekutif Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1), Michael Lai, berkata Malaysia bakal mencapai sehingga 50 peratus perkembangan jalur lebar pada tahun 2010.
“Selaras itu, pada Ogos lalu, P1 yang melancarkan P1 WiMAX, menjadi peneraju utama perkhidmatan WiMAX di Malaysia dan perkhidmatan pertama di Asia Tenggara.
“P1 juga diiktiraf sebagai penyedia rangkaian WiMAX yang pertama menggunakan spektrum 2.3GHz di dunia,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan jalur lebar di Malaysia hanya tujuh peratus manakala perkembangan telefon bimbit melebihi 80 peratus.
“Terdapat dua perkembangan masa kini yang memberi cabaran kepada P1 iaitu telefon bimbit dan jalur lebar.
“Bayangkan pergerakan kita hari ini tanpa telefon bimbit? Bagaimana pula jika dahulunya kita menolak menggunakan telefon bimbit dan hari ini kita tidak boleh hidup tanpanya? Senario ini sama seperti jalur lebar yang ketika ini menjadi keperluan pada setiap pengguna.
“WiMAX dibangunkan untuk data, Internet dan jalur lebar yang kini menuju ke jalur lebar tanpa wayar iaitu hanya menggunakan modem USB tanpa wayar,” katanya.
Menurutnya, WiMAX dan 3G tidak boleh dibuat perbandingan kerana kedua-dua teknologi ini memainkan peranannya yang tersendiri dan sentiasa berubah untuk mencapai tahap teknologi yang lebih tinggi.
Pengurus Negara Nokia Siemens Network Malaysia, Bill Chang, berkata Nokia Siemens Networks (NSN) yang berkeyakinan terhadap GSM - 3G, 3.5G, LTE juga sepertimana WiMAX dan teknologi lain memastikan Malaysia mempunyai pilihan untuk merealisasi dan mengguna pakai teknologi tertentu yang bersesuaian dengan kemahuan dan keperluan untuk jangka masa pendek dan akan datang.
“WiMAX dianggap pelengkap kepada 3G, DSL dan teknologi jalur lebar lain sejajar dengan pelan MyICMS886. Ia membantu peningkatan jalur lebar, terutama yang berkaitan dengan penggunaan kabel tembaga dan dilihat sebagai antara teknologi yang meringankan pengasingan kos.
“Sebagai contoh, pembangunan Village Connection dan Internet Village adalah jalan penyelesaian daripada NSN, berperanan dengan menyatukan inovatif dan perniagaan yang fleksibel, seperti mengurangkan kos peralatan untuk membolehkan peningkatan pasaran, membolehkan ia bergabung dengan komuniti, Internet dan seluruh dunia,” katanya.
Tiga faktor penyelesaian untuk ‘siapa menang’ dan mengapa?
Modul enkripsi vs kad SIM (Modul Identiti Pelanggan)
Set cip WiMAX diperluaskan dengan murah untuk kegunaan komputer riba, netbook, telefon dan peralatan pengguna berasaskan elektronik. Teknologi seperti HSPA tidak mampu dibandingkan kerana satu perkara: kad SIM. Peralatan yang dihubungkan kepada rangkaian telefon perlu mempunyai kad SIM fizikal. Kombinasi rangkaian cip telefon dan kad SIM adalah lebih mahal berbanding cip WiMAX.
WiMAX menggunakan modul enkripsi perisian yang ternyata lebih fleksibel, mudah ditatarajah dan diskalakan. Jika WiMAX mampu bergerak di pelbagai peralatan elektronik pengguna, ini menunjukkan WiMAX lebih berkuasa berbanding 3G. Walaupun 3G mampu menggerakkan kad SIMnya sebagai penyelesaian perisian namun ia tetap mengambil masa yang bertahun untuk mengubah pendekatannya.
Pencapaian sebenar
Ketika kebanyakan syarikat memperdagangkan talian 3G serta membandingkan kelajuan HSPAnya sama dengan WiMAX, tidak semestinya pelaksanaan kedua-duanya sama. WiMAX bertunjangkan IP, mempunyai topologi rangkaian yang lebih mudah maka ia sepatutnya mempunyai spektrum yang lebih berkesan dan laju.
Pandangan dan kemahuan pengguna
Rangkaian telefon dianggap tidak meyakinkan pengguna tentang teknologi tanpa wayar yang mampu memberi pengalaman Internet di rumah ke telefon bimbit. Kebanyakan telefon bimbit mempunyai perisian Bluetooth dan digunakan untuk mesej dan melayari Internet secara asas. Senario ini menganggap telefon bimbit 3G menjadi lebih mudah berbanding DSL atau kabel modem.
WiMAX mampu mengatasi hal ini sekiranya dapat mengaplikasikan sambungan Internet di telefon bimbit dengan Fixed WiMAX, di mana pengguna mempunyai akses 10 Mbps di rumah/pejabat dan boleh dicapai melalui telefon bimbit dengan 2 Mbps.
Perkara utama persaingan Internet antara WiMAX dan 3G ialah, dunia perniagaan masa kini menggunakan teknologi yang lebih pantas dan peka. Oleh itu, lebih ramai pengguna hari ini memilih WiMAX yang banyak digunakan oleh peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta pengusaha berbanding 3G hanya menawarkan perkhidmatan untuk jangka pendek.
Kesimpulannya, WiMAX dan 3G meletakkan kedua-dua pengusaha rangkaian ini sentiasa bersaing antara satu sama lain, seperti NSN dan P1.
Tidak perlu mempersoalkan syarikat mana yang lebih untung kerana objektifnya penciptaan teknologi baru ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna.
Ketika ini juga sudah muncul teknologi 3.5G (HSDPA) dengan keupayaan sehingga 3.6 Mbps yang mampu dimiliki pengguna menerusi tawaran daripada penyedia rangkaian telekomunikasi di Malaysia seperti Celcom yang menawarkan perkhidmatan jalur lebar dengan harga serendah RM98 sebulan bagi langganan 3.5G.
Bagaimana pula pendapat anda antara WiMAX dengan 3G?