Abdul Wahid nafi mahu lepas kerusi DUN
Mohd Abdul Wahid berkata, beliau tidak pernah berjanji sedemikian dalam mana-mana ceramahnya sebelum ini, sebaliknya yakin perkara itu disebarkan pihak tertentu menerusi SMS kononnya akan berlaku satu lagi pilihan raya kecil dalam kawasan Kuala Terengganu iaitu di Wakaf Mempelam apabila beliau dilantik menjadi Ahli Parlimen.
Katanya, beliau turut menerima SMS itu semalam yang dikirimkan daripada nombor yang tidak dikenali.
"Kenapa saya perlu kosongkan kerusi DUN Wakaf Mempelam kerana saya dipilih rakyat untuk mewakili mereka di kawasan itu, bukannya dilantik.
"SMS itu disebarkan kumpulan tertentu yang mendakwa saya akan memberi laluan kepada wakil Pas yang lain sesudah menang kerusi Parlimen," katanya ditemui di rumahnya Wakaf Mempelam, di sini, semalam.
Wakaf Mempelam ialah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu iaitu Batu Buruk dan Ladang yang dikuasai Pas manakala Bandar dikuasai BN menerusi MCA.
Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi apabila memperoleh 32,883 undi mengalahkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang memperolehi 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam meraih hanya 193 undi.
Mengulas perancangannya sesudah menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, beliau berkata, keutamaannya sebagai wakil rakyat ialah membawa permasalahan rakyat di Parlimen dan menegur dasar kerajaan yang tidak bermanfaat kepada rakyat, di samping meneruskan tugasnya sebagai Adun Wakaf Mempelam.
Mohd Abdul Wahid berkata, beliau akan meneruskan tiga tugasnya iaitu wakil rakyat di DUN, Ahli Parlimen dan pimpinan parti.
"Kita akan membantu dan menegur pemerintah bagi memastikan dasar yang dibuat di peringkat negeri dan negara menguntungkan rakyat," katanya.
- Berita Harian