Bekerja dari rumah - e-Homemakers

Diberhentikan kerja bukan penghujung kepada sebuah penghidupan. Apa yang penting jangan panik dan hilang fokus, sebaliknya berusaha untuk terus bersikap positif dengan melihat hikmah di sebaliknya.

Mungkin dengan diberhentikan kerja ia menjadi satu permulaan kepada perkara baru yang lebih menarik dalam kehidupan.

Bagi mereka yang bergelar isteri dan ibu, mungkin inilah masanya untuk 'membayar hutang' pada anak-anak yang kehilangan masa mereka bersama ibu disebabkan sibuk berkerja.

Malah, bukan sedikit daripada wanita yang diberhentikan kerja menemukan kerjaya baru yang lebih lumayan dari segi pendapatan iaitu dengan bekerja dari rumah.

Golongan ini lebih berjaya kerana mereka bersedia mengambil langkah proaktif dengan mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk menjana pendapatan alternatif.

Menurut Pengasas e-Homemakers, Chong Sheau Ching, wanita yang diberhentikan kerja perlu mengasah pengetahuan dan kemahiran mereka, bukannya bergantung kepada mana-mana pihak untuk membantu mereka.

"Sejak 11 tahun lalu kami menerima panggilan telefon dan kiriman e-mel daripada orang ramai yang mendesak e-Homemakers mencarikan pekerjaan untuk mereka.

"Itu bukanlah cara yang betul untuk bangkit semula daripada diberhentikan kerja. Sebaliknya menjadikan lebih sukar buat majikan untuk mengambil mereka bekerja kerana asyik mendesak tanpa cuba berusaha sendiri,'' ujarnya.

Tegas beliau, wanita perlu lebih berdikari dan menambah kemahiran dan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang digunakan secara meluas dalam industri pekerjaan.

Tambahan pula ramai kaum ibu kini cenderung memilih untuk bekerja dari rumah (teleworking) dengan harapan dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bidang tersebut memerlukan pengetahuan dan kemahiran menggunakan e-mel, mengemaskini sistem fail dan mengendalikan program komputer sebagai asas dalam melaksanakan tugasan harian.

Bukan itu sahaja, sesiapa sahaja yang berhasrat menceburi bidang sama harus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah, analisis situasi, kritis dan inovatif dalam usaha mempertingkatkan perniagaan mereka.

"Hanya golongan benar-benar proaktif berjaya membangunkan perniagaan di rumah kerana ia memerlukan usaha gigih untuk mempromosikan produk kita kepada syarikat dan klien berpotensi.

"Kini, bukan sahaja kelayakan akademik dan pengalaman bekerja menjadi ukuran sebaliknya personaliti, kesungguhan dan mentaliti mampu menjamin masa depan yang lebih stabil (dalam perniagaan),'' katanya.

E-Homemakers merupakan jaringan kerjasama komuniti yang mempromosikan alternatif bekerja dari rumah, teleworking dan mengendalikan perniagaan menerusi ICT atau e-komuniti.

Program berkenaan membantu peserta menolong diri sendiri memperluaskan perkongsian bisnes dan pembangunan usahawan serta mengimbangi kerjaya dan tanggung jawab di rumah.

Ia juga bertujuan memperkasakan wanita dan memberi keyakinan kepada mereka untuk meneruskan perjalanan ke arah kebergantungan sosio-ekonomi diri.

Tahun lalu, eHomemakers dipilih sebagai pemenang Anugerah Inovasi MSC Malaysia-Ericsson (Kategori Profesional) kerana berjaya mencipta sistem Aplikasi Pengurusan Pengagihan Kerja (DWMA).

DWMA merupakan alat bantuan pemasaran yang dibina di atas platform integrasi bagi memudahkan pengurusan jaringan perniagaan di rumah.

Wanita yang ingin mendapatkan khidmat bantuan eHomemakers boleh mengunjungi laman web www.ehomemakers.net untuk panduan memulakan peniagaan dalam talian sendiri di rumah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url