Buku - Apa Itu Al-Quran

JUDUL: Apa Itu Al-Quran
Penulis: Muzayyanah Abdullah
Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri

Al-QURAN kitab terakhir diturunkan kepada Nabi Muhamad SAW untuk dijadikan panduan dan petunjuk kepada umat Islam mengenai pelbagai aspek kehidupan dunia dan akhirat termasuk hukum serta perundangan.

Al-Quran kalimah Allah untuk dijadikan panduan hidup. Penurunannya secara berperingkat selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah dengan ayat pertama pada Ramadan. Keseluruhannya mengandungi 30 bahagian dan 114 bab. Bahagian di dalam al-Quran dikenali sebagai juzuk dan bab pula dikenali sebagai surah.

Orang yang membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran akan mendapat limpahan pahala amat besar dan Allah menjanjikan 10 pahala bagi setiap huruf yang dibaca.

Kitab suci itu juga nama lain dan ulama menyatakan al-Quran mempunyai 66 nama, antara al-Furqan, al-Mau'izah, al-Kitab, al-Nur, al-Busyra, al-Ruh, al-Majid, al-Zikr dan al-Tanzil.

Al-Quran juga diturunkan bertujuan memberi peringatan kepada manusia serta mengajak mereka mengenali lebih mendalam mengenai Allah. Ia menjadi pemisah antara golongan beriman dan ingkar. Yang nyata ia mampu mendidik jiwa yang keras menjadi lembut dan taat.

Ayat terkandung di dalamnya menjadi perisai serta benteng bagi mempertahankan kepercayaan kepada Allah. Mendekatinya memberi kekuatan jiwa serta sentiasa dilindungi terutama daripada ancaman syaitan yang bertugas untuk menggoda manusia ke arah kejahatan dan kemunafikan.

Isi kandungannya juga merungkai pelbagai kisah termasuk umat Islam pada zaman dulu hingga menjadikan ia begitu relevan sepanjang zaman di samping menjelaskan sebarang pertikaian mengenai sesuatu perkara.

Mengandungi undang-undang dan peraturan ditetapkan dalam Islam, contohnya bagi kesalahan zina boleh direjam dengan batu dan mencuri dipotong tangan. Malah cerita mengenai kebangkitan serta hari pembalasan. Dosa dan pahala mereka akan ditimbang bagi menentukan mereka di tempat di syurga atau neraka.

Digambarkan bagaimana keadaan di syurga yang penuh dengan kenikmatan tidak pernah dirasai ketika di dunia serta azabnya panas api neraka bagi umat yang gagal mematuhi syariat-Nya.

Buku setebal 87 muka surat ini menghuraikan antara kelebihan membaca dan menghayati al-Quran itu diumpamakan 'citrus' (sejenis limau) yang berbau harum dan lazat, manakala golongan munafik yang tidak membaca al-Quran umpama petola yang tidak mempunyai bau dan rasanya pahit.

Al-Quran adalah satu-satunya bahan interaksi dengan Tuhan yang wujud secara zahir sehingga kini dan selamanya. Ia kitab suci yang lengkap dan sempurna.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url