Ferrari perkenal kereta baru F60 untuk Formula One


Ferrari memperkenalkan kereta baru mereka untuk perlumbaan Formula Satu musim 2009 semalam dengan harapan pelumbanya, Felipe Massa dapat menebus kekalahan kepada Lewis Hamilton dalam perebutan juara dunia musim lalu.

Massa tewas dengan satu mata sahaja kepada Hamilton pada 2008 walaupun Ferrari mengekalkan kejuaraan pengeluar buat kali kelapan dalam tempoh 10 tahun.

Hamilton yang memandu untuk McLaren Mercedes pastinya bakal menerima tentangan sengit daripada F60 - nama yang diberi kepada kereta terbaru Ferrari itu yang diambil sempena 60 tahun pasukan itu dalam kancah F1.

Ini merupakan kereta ke-55 yang dihasilkan Ferrari sejak menyertai perlumbaan F1 pada tahun 1950.

Buat pertama kali semalam, Massa memandu uji kereta tersebut di Litar Mugello, jauh daripada litar mereka sendiri di Fiorano yang diliputi salji.

Sebagai memenuhi peraturan baru yang yang ditetapkan, F60 mengalami pengubahsuaian besar terutama aerodinamiknya bagi membolehkan memotong lawan dapat dilakukan lebih kerap.

Sayap depan pula lebih lebar daripada sebelum ini manakala sayap belakang lebih tinggi dan padat.

Massa ketika diminta mengulas mengenai kereta F60 itu berkata, beliau agak terkejut dengan saiznya.

"Saya menjangkakan ia akan lebih besar dengan sayap depannya juga besar seperti 10 tahun lalu. Tetapi apa yang nyata ia kecil seperti Formula 3," katanya.

Ujian rasmi pertama kereta baru itu dijangka dilakukan Portimao, Portugal pada 19-22 Januari ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url