Fitnah dan karya kreatif

Secara mudah “fitnah” boleh diiktiraf sebagai satu kenyataan seorang individu (defendan) mengenai seorang individu lain (plaintif), sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan, yang secara salah telah menjejaskan reputasi individu tersebut. Reputasi seorang itu dikatakan terjejas apabila orang itu dibenci, dihina atau dipandang rendah oleh orang lain disebabkan kenyataan salah itu.

Misalnya jika dalam tulisan saya dalam akhbar ini saya menyatakan bahawa seorang tokoh politik tempatan bernama Datuk Sipolan adalah kaki botol dan kaki judi serta pengamal rasuah, dan kenyataan saya itu tidak betul lalu mencemarkan nama baiknya, saya telah melakukan fitnah terhadapnya.

Saya dikira telah menjejaskan nama baik Datuk Sipolan kerana kenyataan saya itu secara nyata merujuk (ditujukan) kepada dirinya dan akibat kenyataan saya itu beliau dipandang hina atau dibenci oleh orang lain. Soal berikutnya pula ialah bagaimana jika saya hanya menulis suatu karya kreatif (misalnya sebuah novel), memaparkan kisah seorang watak bernama Datuk Silopan, seorang kaki botol, kaki judi serta pengamal rasuah. Katakanlah bahawa di halaman pertama novel itu saya ada menegaskan bahawa karya saya itu adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana orang lain yang hidup atau sudah mati?

Ahli profesion undang-undang menyebutkan kenyataan seperti ini sebagai satu disclaimer. Apakah saya masih lagi menghadapi risiko akan disaman oleh mana-mana pihak atas alasan saya telah memfitnahnya? Untuk mengetahui kedudukan undang-undang dalam situasi begini, kita perlu membuat kajian kes yang pernah diputuskan di negara luar selain negara kita sendiri.

Pada 1996 satu karya kreatif bertajuk Primary Colours: A Novel of Politics tulisan Joe Klein telah diterbitkan oleh Random House. Karya ini memaparkan kisah seorang calon presiden daripada parti Demokrat bernama Jack Stanton, seorang kaki perempuan. Walaupun karya Klein ini dipasarkan oleh penerbit sebagai satu cereka (work of fiction) hasil imaginasi penulisnya, setiap orang yang membacanya tahu bahawa novel itu dipadankan pada riwayat hidup Presiden Bill Clinton, semasa tokoh politik itu berkempen sebagai calon Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1992. Novel Primary Colours ini akhirnya telah dijadikan satu filem, di mana watak Jack Stanton dilakonkan oleh seniman terkenal, John Travolta. Dalam satu babak filem itu, watak Jack Stanton kelihatan keluar dari bilik tidurnya di sebuah hotel sambil mula memakai bajunya dan mengenakan butang baju.

Di belakangnya kelihatan pasangannya, seorang wanita muda bernama Ms Baum, yang juga sedang berusaha “mengemaskan” dirinya supaya nampak “lebih sopan”. Mesej yang hendak disampaikan kepada penonton dalam babak ini amat jelas sekali – iaitu ini satu lagi contoh perangai buruk watak itu yang suka “bermain perempuan”.

Dalam cerita yang terkandung dalam novel dan filem itu, Ms Baum adalah seorang pekerja di sebuah perpustakaan di Harlem, New York sewaktu dia mula berkenalan dengan Jack Stanton. Novel dan filem inilah yang kemudiannya dijadikan asas satu tuntutan fitnah.

Dalam tuntutan fitnah itu, yang difailkan oleh plaintif (seorang wanita bernama Daria Carter-Clark) terhadap defendan (Random House) dan penulis novel itu (Joe Klein), plaintif mendakwa bahawa ada sebahagian orang awam yang telah membaca novel itu dan kemudian menonton filem itu mempercayai bahawa watak rekaan bernama Ms Baum itu adalah sebenarnya merujuk kepada dirinya.


Fitnah

Plaintif mendakwa sebagai seorang pekerja di satu perpustakaan di Harlem, novel yang diterbitkan oleh defendan itu adalah satu fitnah terhadapnya. Plaintif mendakwa akibat penerbitan karya kreatif itu nama baiknya terjejas, dan dia menuntut gantirugi sebanyak AS$100 juta.

Di akhir bicara di Manhattaan Supreme Court, Hakim Richard A. Braun menolak tuntutan itu. Menurut hakim, plaintif tidak akan berjaya dalam tuntutannya kecuali dia dapat membuktikan bahawa orang yang biasa mengenalinya tahu bahawa deskripsi watak yang direka itu sebenarnya adalah merujuk kepada diri plaintif. Hakim juga menegaskan bahawa jika terdapat sedikit persamaan sahaja (superficial similarities) antara watak rekaan dalam karya kreatif itu dengan hal keadaan diri plaintif yang sebenar, ia masih belum cukup untuk membuktikan kes plaintif.

Pada 21 April 2005, keputusan hakim bicara itu telah didengar oleh Mahkamah Rayuan New York. Semasa mengesahkan keputusan hakim bicara, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa walaupun karya kreatif ini mendapat inspirasi dari real-life personalities (iaitu kisah hidup Bill Clinton), karya itu tetap satu work of fiction dan mesti dinilai dan dipertimbangkan sebagai satu karya kreatif untuk kes tuntutan fitnah ini. Mahkamah Rayuan juga sependapat dengan hakim bicara bahawa persamaan yang terdapat antara watak rekaan penulis dengan plaintif hanyalah sedikit sahaja (superficial) dan belum mencukupi bagi mensabitkan tuntutan plaintif.

Dalam ulasannya mengenai kes ini, Kirten Murphy menyatakan dalam artikelnya berjudul A Primary Concern (disiarkan dalam The News Media & The Law November 1, 2003), bahawa dalam kes-kes fitnah yang membabitkan karya kreatif (work of fiction), mahkamah akan menimbangkan beberapa faktor penting sebelum memutuskan sama ada suatu karya kreatif itu telah memfitnah orang tertentu, antaranya – nama yang digunakan oleh penulis (apakah ada persamaan antara nama watak rekaan itu dengan nama plaintif), hal keadaan fizikalnya, umurnya, lokasi atau tempat berlakunya sesuatu kejadian, pekerjaan dan personality atau watak kedua-duanya.

Menghuraikan undang-undang fitnah akibat penulisan karya kreatif, Hakim Robert D. Sack (2nd U.S. Circuit Court of Appeals), yang juga penulis buku undang-undang fitnah berjodol Sack on Defamation: Libel, Slander and Related Problems, menyatakan bahawa apabila seorang penulis menghasilkan satu karya kreatif, ia masih menanggung risiko melakukan fitnah ke atas orang lain walaupun ia ada membuat satu disclaimer.

Mengikut Robert, walaupun risiko ada di sisi defendan (penulis yang menghasilkan karya kreatif itu), beban yang dipikul oleh plaintif untuk ia menang bukan sesuatu yang ringan. Plaintif mesti berjaya membuktikan kepada mahkamah 5 perkara berikut –

(a) ada kenyataan yang dibuat oleh defendan (publication of the statement) kepada orang ketiga atau orang ramai;

(b) kenyataan itu mengandung suatu makna yang memfitnah (defamatory meaning);

(c) kenyataan itu adalah tidak benr (false statement);

(d) kenyataan yang memfitnah itu merujuk kepada plaintif;

(e) plaintif telah merasakan akibat buruk fitnah itu (ia dibenci atau dipandang hina oleh orang awam).

Mengikut Robert lagi, yang paling sukar bagi plaintif menyakinkan mahkamah ialah bahawa karya kreatif defendan itu (watak dalam novel yang dihasilkan oleh imaginasi defendan itu) benar-benar secara tepat sekali merujuk kepada plaintif.

Dalam pada itu, tidak semua orang setuju dengan pendapat bahawa karyawan yang menghasilkan karya kreatif (work of fiction) itu mesti turut sama menanggung risiko disaman oleh pihak lain kerana memfitnahnya seperti mana seorang penulis non-fiction.

Mengikut penulis Julie Hilden, suatu karya kreatif (fiction) tidak boleh dikatakan membuat apa-apa statement (kenyataan) seperti halnya dengan suatu karya non-fiction. Kata Julie lagi, suatu kenyataan itu membuat suatu penegasan mengenai dunia sebenar (makes an assertion about the real world), manakala suatu karya kreatif (fiction) adalah khayalan penulis atau novelis mengenai suatu alam asing yang sebenarnya tidak wujud di bumi nyata.

Debbie Berman, seorang peguam di Chicago, sependapat dengan Julie. Mengikut Debbie, adalah sesuatu yang mengejutkan bahawa seorang yang hanya menzahirkan khayalannya dalam bentuk yang boleh dibaca atau dilihat oleh orang lain boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Perkembangan undang-undang sebegini merupakan satu trend yang tidak sihat kepada kebebasan bersuara atau mengeluarkan pendapat, katanya lagi. Debbie juga turut menegaskan bahawa membiarkan penulis karya kreatif disaman kerana dikatakan telah melakukan fitnah akan menimbulkan kesan yang buruk kepada kebebasan bersuara.

Ia sekali gus akan membuat penerbit berfikir dua kali sebelum bersedia menerbitkan apa-apa karya kreatif di masa depan, kata Debbie lagi.

Chris Finan, presiden sebuah yayasan penjual buku di Amerika (the American Booksellers Foundation for Free Expression) mempunyai pendirian yang sama. Beliau berkata bahawa jika tidak wujud satu set peraturan yang jelas mengenai hal ini, masyarakat penerbit akan menghadapi kesulitan yang besar. Mereka tidak lagi akan begitu bersedia atau yakin menerbitkan karya kreatif kerana takut watak-watak yang dipaparkan oleh penulis dalam karya kreatifnya itu ada persamaannya dengan orang yang hidup.

Judith Platt, pengarah Freedom to Read Program di Persatuan Kebangsaan Penerbit Ameerika (Association of American Publishers) menyuarakn sentimen yang sama. Kata Judith, These libel-by-fiction suits definitely chill expression by encouraging self-censorship. Di negara kita ini, sejauh mana yang sempat semak dalam jurnal undang-undang, belum ada satu kes serupa kes Random House di Amerika. Sekiranya satu hari nanti kes serupa ini sampai ke mahkamah, kita akan dapat lihat sendiri apakah pendekatan yang akan diambil oleh mahkamah kita.

Apakah mahkamah kita nanti akan membezakan antara karya kreatif (fiction) dengan karya bukan kreatif (non-fiction)? Sama-sama kita tunggu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url