Gandakan ibadat semasa sakit
Penyakit juga turut dikatakan sebagai kaffarah iaitu balasan dosa-dosa yang dilakukan sebelum dihitung oleh Allah di padang mahsyar kelak. Ia juga tanda kita disayangi oleh Allah.
Bagaimanapun, sebahagian besar kita apabila ditimpa penyakit dan terlantar di hospital, kurang memberi perhatian kepada ibadat solat. Sedangkan firman Allah yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mendirikan solat, sesungguhnya solat itu amat berat kecuali kepada orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45).
Ikuti temubual Pegawai Agama Kem Kementah, Mejar Mohd. Shukri Yahya bagi mengupas isu ini.
Apakah kedudukan berubat dalam Islam?
SHUKRI: Dalam sirah Nabi, apabila baginda sakit ada perubatan Islam yang disebut Thibban Nabawi. Ia menunjukkan cara-cara bagaimana orang Islam berubat.
Secara umumnya, berubat itu amat digalakkan oleh Islam sama ada menggunakan perubatan moden atau perubatan Islam. Ia sebagai salah satu usaha memulihkan kesihatan dengan pertolongan ubat.
Cuma jangan kita bergantung 100 peratus dengan ubat untuk menyembuh penyakit. Sebabnya yang menyembuhkan kita sebenarnya ialah Allah. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku. (asy-Syu'araa: 80)
Ubat tadi hanya menjadi sebab kepada menyembuhkan sakit kita. Kalau kencing manis maka kita disuruh mengambil ubat yang sesuai dengan penyakit tersebut. Ia bagi memungkinkan kita sembuh.
Soalnya, ramai daripada kita yang bergantung kepada ubat-ubatan doktor sahaja dan tidak bermunajat kepada Allah. Adakah ini tepat?
SHUKRI: Perbuatan sebegini adalah tidak tepat. Sepatutnya kita meletak pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Sebab itu kita perlu bermunajat dan jangan tinggal solat.
Ubat adalah usaha kedua. Yang utama ialah memohon kepada Allah melalui solat dan berdoa. Jangan kita lupa bahawa doa itu senjata orang mukmin.
Malah sesetengah penyakit itu boleh sembuh dengan membaca ayat al-Quran. Firman Allah bermaksud:Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata. (al-Israk: 82)
Rasulullah SAW sendiri pernah ambil segelas air sejuk kemudian berdoa dan diberi minum kepada orang yang sakit, kemudian orang itu pun sembuh dengan izin Allah.
Ini turut membuktikan yang dengan berdoa sahaja pun boleh mengubat penyakit.
Satu lagi aspek, jika kita tidak bermunajat kepada Allah, maka apa bezanya kita dengan orang kafir.
Solat adalah kewajipan utama seorang Muslim. Untuk itu Allah sediakan rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang uzur. Mungkinkah mereka yang tidak solat ini tidak tahu rukhsah yang disediakan oleh Islam?
SHUKRI: Apabila kita menziarahi pesakit, fenomena yang selalunya tidak ramai mereka yang solat. Pelbagai alasan diberi antaranya kaki atau tangan bersimen, wayar di kiri dan kanan badan, ada plaster dan sebagainya.
Sebenarnya fiqh Islam sudah jelas cara tunaikan solat semasa kita sakit. Kalau ada pembalut atau simen di tangan atau kaki, ada cara untuk berwuduk. Dalam kes begini, ambil wuduk seperti biasa dan setakat yang boleh pada anggota yang bersimen kemudian hendaklah bertayamum. Ia bagi menggantikan tempat yang tidak terkena air tadi. Selepas itu bolehlah tunaikan solat.
Kalau tidak mampu berwuduk, kita boleh minta orang lain mengambilkan wuduk.
Bagi yang sakit kuat sehingga tidak boleh bangun, maka Islam benarkan kita solat sambil duduk atau baring baik dalam keadaan menelentang atau mengiring. Malah, kita juga boleh solat dengan hanya menggerakkan anak mata jika tidak mampu menggerakkan anggota fizikal.
Jika tidak tahu menjadi alasan, maka kita mengajak umat Islam belajar. Kini bertayamum pun mudah sebab sudah ada dijual debunya cuma kita perlu belajar bagaimana bertayamum.
Golongan yang sakit yang akan menempuh pembedahan yang panjang dibenarkan menjamak solat. Demikian juga pada doktor, anggota keselamatan yang terpaksa bertugas pada jangka masa yang panjang, semua mereka dibenarkan menjamak solat. Jadi, sepatutnya kita tiada alasan untuk meninggalkan solat.
Waima dalam perang pun, kita masih diwajibkan solat. Adakah alasan sakit 'cukup' menidakkan kita daripada solat?
SHUKRI: Solat adalah ibadat paling utama dalam Islam. Malah kedudukannya di tempat kedua selepas mengucap syahadat menunjukkan ia adalah ibadat tonggak. Allah berfirman: Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada Aku. (adz-Dzaariyat: 56)
Malah, Rasulullah SAW semasa hendak memilih golongan untuk menyertai ketumbukan tentera Islam berjihad pun akan melihat kepada mereka yang bangun bertahajjud.
Solat perlu ditunaikan masa sihat atau sakit. Sepatutnya, ketika sakitlah kita perlu lebih banyak solat dan bermunajat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sebabnya, Allah yang menurunkan penyakit dan Allah juga yang menyembuhkannya.
Balasan kepada mereka yang tinggalkan solat banyak ditegaskan oleh Allah.
Antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu memasuki Neraka Saqar? Mereka menjawab: Dahulu (semasa di dunia) kami termasuk orang-orang yang tidak bersembahyang. (al-Muddaththir: 42-43).
Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa, "siapa yang meninggalkan sembahyang secara sengaja maka sesungguhnya dia telah kufur secara terang-terangan". (riwayat At-Tabaraani)
Sakit bukan alasan untuk tidak solat. Ia adalah ketentuan Allah kepada kita. Kalau kita sabar semasa sakit, ia boleh menghapuskan dosa dan meninggikan darjat.
Solat berperanan untuk membersih diri, memberi kekuatan mental, mencegah perbuatan keji dan mungkar. Malah, ia juga ibadat pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.
Bagaimanapun, dalam ibadat puasa misalnya, kelonggaran diberi kepada pesakit dan orang yang bermusafir. Mereka boleh menggantikan puasa pada masa lain iaitu semasa mereka sihat. Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia menggantikan bilangan hari yang ditinggalkan itu...(al-Baqarah: 184)
Apakah huraian lanjut ayat di atas tadi dan kaitan antara solat dengan pertolongan Allah?
SHUKRI: Ayat di atas menyuruh kita sentiasa menunaikan solat dan sabar apabila ditimpa musibah atau kesulitan.
Apabila ada kesulitan, sama ada sakit, ekonomi meleset, perang dan sebagainya ia adalah keadaan yang sepatutnya meningkatkan pergantungan manusia kepada Allah.
Sejarah pada zaman Nabi dan sahabat pun, apabila ada hajat mereka akan solat dua rakaat dan memohon kepada Allah. Ini menunjukkan kekuatan yang ada pada ibadat solat itu.
Cuma, kita perlu ada kesabaran. Sebabnya, bukan semua doa kita dimakbulkan terus oleh Allah. Ada doa yang terus diterima dan ada yang Allah tangguhkan. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Pada masa yang sama, diharap risalah berkaitan kemudahan solat ini diperbanyakkan dan diedar kepada para pesakit Muslim. Ini supaya mereka menyedari bahawa Islam menyediakan kaedah beribadat semasa sakit.
Para pesakit ini juga perlu diberi bimbingan oleh golongan agama terutama dalam bab beribadat seperti solat. Yang menjadi masalah ialah golongan yang semasa sihat pun tidak solat, apatah lagi masa sakit.
- Utusan