Gelora rumah tangga
"Kononnya malu kalau jumpa orang yang dikenali, tapi di dalam kereta sudah menunggu bakal pengganti.
"Kalau sudah sampai tahap macam itu, nak salahkan isteri juga lagi?'' demikian soalan yang Ain (bukan nama sebenar) ajukan kepada saya lebih kurang dua bulan lalu.
Ketika itu rumah tangga Ain dan suaminya Madi (bukan nama sebenar) sedang bergelora hebat. Akhirnya gelora itu reda setelah Ain diceraikan dengan talak satu.
Dengan kekuatan jiwa, semangat dan sokongan keluarga serta rakan-rakan, akhirnya Ain berjaya melupakan segala kenangan pahit itu.
Bayangkan setelah 22 tahun berkongsi hidup, istana yang mereka bina hancur juga gara-gara orang ketiga.
Termenung saya seminit dua ketika Ain memberitahu dia sudah bergelar janda. Tidak setitik pun air matanya terbit kala dia bercerita tentang perceraiannya itu berbanding ketika rumah tangganya sedang goyah - hanya air mata menjadi teman setianya.
Murung
Ketika itu, saya cukup bimbang dia akan menjadi murung kerana masalah itu tetapi hari ini saya bertemu dengan Ain yang baru.
Ain tidak lagi kecewa akibat janji yang diikat kala menuntut di luar negara bersama suami tersayang musnah bagai debu ditiup angin. Anak-anak seramai tiga orang yang berusia antara 12, 18 dan 20 tahun setia bersama ibu mereka lantaran tidak tahan dengan sikap bapa yang melampau menyeksa zahir batin ibu kesayangan mereka.
Kisah Ain adalah satu di antara seribu kisah rumah tangga yang berlaku setiap hari di negara ini.
Mendengar kisah nikah kahwin hati turut gembira, namun apabila membaca cerita cerai berai pula, gerun rasanya.
Lalu teringat juga akan sesetengah orang yang mengadakan majlis perkahwinan bagai nak rak dengan jemputan dan sambutan besar-besaran sampai saat berpisah, seorang ke hulu seorang ke hilir, sunyi sepi tanpa berita.
Apabila ini berlaku mula timbul rasa tidak puas hati dan merungut kekurangan pasangan masing-masing. Buruk pasangan mula diungkit. Suami mengata isteri, begitu juga sebaliknya hinggakan segala rahsia di dalam kain yang patut disimpan sebagai khazanah suami isteri terdedah kepada umum.
Penghujung 2008, menyaksikan kes rumah tangga terutamanya artis macam pesta nikah cerai... Keluar masuk mahkamah seperti masuk kompleks membeli-belah - sekali fikir, seperti penggambaran filem atau drama.
Itu belum masuk yang terbengkalai kes mereka di mahkamah dan menunggu untuk diberi kaunseling, demikian rapuhnya rumah tangga sekarang. Golongan artis, orang biasa, miskin kaya bukan lagi pokoknya. Semua sudah sama taraf bila masuk bab cerai berai ini.
Tapi keistimewaan tetap berpihak kepada golongan selebriti kerana mereka menjadi hak masyarakat.
Siapa pun mereka, semuanya bermula dengan cinta dan kasih sayang. Semasa hendak menikah, sehati sejiwa, sama haluan, serasi dan macam-macam lagi kata-kata indah untuk menguatkan bahawa yang dipilih adalah yang terbaik untuk berkongsi hidup.
Tapi apabila bertelagah, maka bermulalah sesi tuduh-menuduh, tidak ada sefahaman lagi, suami isteri tidak bertanggungjawab dan macam-macam lagi yang buruk-buruk belaka tetapi yang indah-indah tidak pula menjadi sebutan.
Peliknya lagi, anak sudah masuk enam orang, baru timbul soal tidak ada sefahaman, isteri tidak melayan suami dan suami pula mengadu isteri tidak pandai mengambil hati dan sebagainya.
Sedangkan sebelum ini semuanya elok belaka, kenapa tiba-tiba masing-masing asyik mencari kesalahan antara satu sama lain?
Begitu juga dengan trend masa kini yang menjurus kepada lelaki tua mencari gadis muda dan gadis muda pula mencari lelaki tua untuk dijadikan teman hidup.
Tidak dinafikan jodoh, maut dan pertemuan ditentukan Allah SWT, namun manusia punya akal untuk menilai yang mana terbaik buat mereka.
Memang kita berpegang kepada soal jodoh tetapi perlu juga diambil kira risiko kepada trend tersebut yang rata-rata masyarakat beranggapan disebabkan harta benda dan gaya hidup bukan kerana kasih sayang dan keimanan yang dimiliki setiap pasangan.
Seperkara lagi jika benarlah lelaki muda boleh membahagiakan wanita berumur, tiada siapa boleh melarang, begitu juga jika wanita tua boleh membahagiakan lelaki muda, namun biarlah jodoh dan ikatan pernikahan itu berdasarkan ketelusan jiwa antara kedua-dua pihak.
Jangan pula perkahwinan tersebut hanya kerana harta benda, rupa paras dan inginkan gaya hidup dan kebanggaan bersuami atau beristeri muda yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi.
Setiap pasangan harus ingat, rumah tangga bukan setakat kehidupan antara suami isteri tetapi juga merangkumi amanah terhadap perkahwinan termasuk soal membahagiakan anak-anak dan mendidik mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Rumah tangga juga bukan untuk sehari dua tetapi perkongsian seumur hidup. Malah dalam rumah tangga setiap pasangan harus bersedia belajar tentang hidup dan rasa hormat antara satu sama lain setiap hari.
Cara ini membantu membina kasih sayang dan menghargai erti perkongsian hidup sebenarnya dalam usaha membangkitkan suasana keluarga harmoni yang bahagia di dunia dan di akhirat.
Seperti orang lain saya juga tidak mahu melihat semakin ramai anak-anak hidup terbiar kerana ibu bapa mereka yang bercerai melepaskan tanggungjawab masing-masing walaupun tidak dinafikan ada anak-anak yang cemerlang dalam hidup mereka tanpa ibu atau ayah.
Buat apa hidup glamor tetapi anak-anak terganggu pelajaran dan kehidupan.
Begitu juga dengan fenomena keruntuhan institusi keluarga yang berlaku, sama ada di kalangan rakyat bawahan, artis, selebriti dan orang kenamaan sewajarnya tidak didedahkan kepada masyarakat.
Saya berpendapat pendedahan seperti itu tidak memberi kebaikan kepada pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumahtangga sebaliknya akan mengakibatkan keretakan perkahwinan yang sedang menunggu belah itu.
Sehubungan itu sudah semestinya gejala itu perlu dibendung oleh semua pihak terutama pasangan terbabit.
Ingatan saya, jangan biarkan perceraian menjadi beban kepada kehidupan anak-anak yang masih panjang perjalanan hidup mereka. Berilah mereka ruang untuk hidup seperti anak-anak lain bersama ibu bapa yang penyayang dan prihatin.
Biarpun perceraian itu halal tetapi ingatlah ia dibenci oleh Allah SWT, seeloknya perkara yang dibenci Allah tidak ditonjolkan lebih-lebih lagi untuk menarik perhatian orang ramai.
Sistem dan pemikiran masyarakat perlu diubah mengikut cara Islam. Hakikatnya kita perlu kembali ke jalan Allah kerana matlamat perkahwinan itu sendiri ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah sambil membina rumahku syurgaku.
Mengundur diri, pesanan telus daripada saya buat renungan bersama, cinta biasanya dimulakan dengan pandangan mata, kemudian senyuman, selepas itu kata-kata dan berakhir dengan titisan air mata kerana air mata itu adalah harga bagi sebuah kehidupan.