Gerakan-UMNO berbaik semula di Pulau Pinang?
Kehadiran pemimpin UMNO Pulau Pinang yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan negeri hari ini membuktikan, para pemimpin terlibat masih boleh duduk semeja dan mengetepikan perbezaan pandangan antara mereka.
Mengulas situasi tersebut, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pihaknya masih berhubungan dengan UMNO sebagai kawan di bawah 'payung' Barisan Nasional (BN).
"Parti Gerakan sememangnya menjalin kerjasama dengan parti- parti lain di bawah konteks BN. Ia sentiasa dikekalkan.
"Namun begitu, menyentuh hubungan kami dengan UMNO negeri, ia mungkin mengambil masa untuk dipulihkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baru Cina Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Pengerusi MCA Negeri, Datuk Liow Tiong Lai; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob serta para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan pakatan pembangkang.
Hubungan tegang Gerakan-UMNO Pulau Pinang bermula apabila bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh membangkitkan kemarahan masyarakat Cina apabila mengatakan kaum itu menumpang di negara ini.
Ekoran kenyataan tersebut, hubungan UMNO dan Gerakan di negeri ini menjadi renggang sehingga mewujudkan perang dingin antara pemimpin kedua-dua parti.
Dalam pada itu, Tsu Koon mengakui kehadiran para pemimpin UMNO ke rumah terbuka Gerakan hari ini sebagai satu permulaan yang baik dalam menerapkan semangat perpaduan dan muhibah.
"Kita gembira semua pemimpin daripada komponen BN dan parti-parti lain hadir pada majlis ini. Ini menunjukkan kita sememangnya mesra," tambahnya.
- Utusan