Hukum Botox, Braces, Susuk Dan Bedah Plastik
Bagaimanapun, ada pihak yang cuba untuk mempertikaikan keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan untuk menghasilkan botox hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor.
Pihak ini juga cuba mendakwa, dari segi kesihatan, penggunaan botox tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul. Cuma pihak ini tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan atau diselia pihak bertauliah. Adalah diakui oleh para pakar bahawa Botox digunakan untuk memperbaiki keadaan muka saja supaya pengguna rasa lebih selesa, bukan untuk mengubah menjadi orang lain.
SEBAB UTAMA BOTOX HARAM
Bagaimanapun isu utama yang menyebabkan ia menjadi Haram pada pandangan Shariah adalah :-
a) Unsur najis dan kotoran di dalam bahan BOTOX ; kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.
Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut "Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat"
b) Pengubahan Ciptaan Allah Tujuan Tambah Kecantikan : Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:
"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'
Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya
Terdapat juga hadith yang menyebut :
"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)
Tatoo, iaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatoo sebahagian besar dari tubuhnya. Bahkan dimasa pengikut-pengikut agama membuatnya tatoo dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.
Perbuatan-perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatoo itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatoo ataupun orang yang minta ditatoo.
KIKIR GIGI DAN ‘BRACES'
Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadith di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Karena itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat.
Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Dalam hal ini Rasulullah pernah melaknatnya, yaitu seperti tersebut dalam hadisnya:
"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang disebut ‘al-Falaj', yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik. Adapun pada hari ini, kebanyakkannya sudah menukar ‘style' mereka kepada merapatkan gigi menggunakan ‘braces' (http://en.wikipedia.org/wiki/Dental_braces) yang yang bertujuan MENCANTIKKAN susunan gigi. Ketika itu, hukum haram yang sama jatuh pada perbuatan merapatkan gigi bagi tujuan kecantikan. Adapun jika ia dilakukan bagi inidivud yang mengalami kemalangan dan bertujuan mengubatnya, ia menjadi harus.
Dari hadis-hadis yang telah kita sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memnuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan RasulNya, karena di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ‘show' dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.
Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut : "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran" (Al-Halal wal Haram Fil Islam )
c) Unsur Penipuan : Mengandungi unsur penipuan yang diharamkan Islam.
Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.
Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :
"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)
Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam. Hal ini samalah seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki yang kulitnya sudah kelihatan tanda ketuaan, bagi mengekalkan rupa mudanya, maka mereka melakukan botox dan lebih teruk lagi susuk.
SUSUK & SIHIR
Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran.
Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:
"Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)
Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Nabi bersabda:
"Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.
Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:
"(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)
Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:
"Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)
Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.
Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.
Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.
KESIMPULANNYA
Botox atau pembedahan plastik yang dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.
Tujuan yang tidak dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari apa yang dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.
Syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.
Peraturan umum kecantikan Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja; mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.
Jika botox itu menggunakan bahan suci sekalipun, ia tetap haram kerana dua ‘illah ( sebab utama) pengharaman masih ada.