India sambut Hari Republik ke-60


India hari ini memperketatkan kawalan keselamatan di seluruh negara sempena meraikan Hari Republik ke-60 dan persembahan perbarisan tentera di ibu kota serta selepas dua bulan serangan Mumbai berlaku.

Semalam, pihak polis membunuh dua suspek militan berhampiran ibu kota New Delhi iaitu sehari sebelum sambutan Hari Republik ini diadakan.

Lebih 20,000 tentera bersenjata berat diarahkan menjaga keselamatan bagi mencegah kemungkinan serangan militan.

Jurucakap Menteri Pertahanan, Sitanshu Kar yang dipertanggungjawab menguruskan upacara perayaan tersebut berkata, insiden tembak-menembak diletakkan pada tahap tertinggi.

Pesuruhjaya polis New Delhi, Y. S. Dadwal memberi amaran kumpulan militan akan cuba menyerang perbarisan tentera sempena perayaan Hari Republik yang merupakan simbol kuasa ketenteraan dan ekonomi India.

"Ini adalah sumber daripada pasukan perisikan. Peralatan keselamatan udara dan darat seperti senjata antipesawat pejuang, pasukan penembak tepat dan helikopter perang telah bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian," kata Dadwal.

Menteri Dalam Negeri Persekutuan, P. Chidambaram turut mengarahkan kesemua 28 negeri-negeri di India, termasuk tujuh wilayah di timur laut dan Kashmir untuk meningkatkan keselamatan.

Hampir semua pusat perdagangan di New Delhi dihentikan sempena sambutan perayaan Hari Republik berkenaan yang menyaksikan orang ramai berhimpun beramai-ramai untuk meraikannya.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh tidak menghadiri acara itu kerana berehat selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, semalam.

Menteri Pertahanan, A.K. Anthony telah menggantikan beliau sementara Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev menjadi tetamu asing utamanya.

Antara jentera ketenteraan yang kelihatan dalam perarakan tentera ialah kereta kebal jenis T 90, yang membuat kemunculan dalam perarakan dan sistem peluru berpandu, Agni III hasil kerjasama antara India dan Rusia.

Pada 26 Januari 1950, India menjadi sebuah negara demokratik berdaulat selepas mendapat kemerdekaan daripada British pada 1947.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url