Indonesia umum turun harga minyak

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengumumkan akan menurunkan harga minyak dan tarif elektrik, menjelang pilihan raya umum di negara ini.

Beliau turut mengarahkan pengusaha pengangkutan awam supaya menurunkan kadar tambang, sebaik-baik harga minyak diturunkan berkuat kuasa 15 Januari ini.

Harga petrol dan diesel disubsidi untuk kegunaan kenderaan persendirian diturunkan sebanyak 10 peratus kepada Rp4,500 (RM1.37) seliter dan 6.25 peratus kepada Rp4,500 (RM1.37) seliter.

Penurunan harga bahan bakar itu adalah kali ketiga sejak Disember lalu.

Susilo berkata, polisi itu bagi meningkatkan penggunaan isi rumah bagi memastikan ekonomi dalam negara terus bergerak dalam situasi krisis ekonomi global.

“Polisi ini akan membantu mengekalkan kuasa beli rakyat. Inilah yang mahu dicapai oleh kerajaan,” kata Susilo selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, petang semalam.

Penurunan harga minyak memang telah dijangka oleh banyak pihak dan melihatnya sebagai strategi Susilo untuk menarik sokongan rakyat menjelang pilihan raya Parlimen pada 9 April ini dan Pemilihan Presiden pada bulan Julai.

Susilo berkata, Menteri Pengangkutan, Djusman Syafii Jamal akan mengarahkan pengangkutan antara bandar dan antara daerah supaya menurunkan tambang sebanyak 10 peratus serentak berkuat kuasa 15 Januari ini.

Sementara itu, Pemangku Menteri Penyelaras Ekonomi, Sri Mulyani Indrawati memberi jaminan tidak akan berlaku kekurangan bahan bakar berikutan penurunan harga tersebut.

“Stesen minyak akan mula membeli harga minyak pada harga baru mulai malam Isnin tetapi orang ramai akan menikmati harga baru pada Khamis ini,” kata beliau.

– Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url