Faktor pengundi muda di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Ramalan tentang parti mana yang bakal berjaya menambat hati pengundi di kawasan tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Setiap parti yang meletakkan calon di kawasan yang disandang oleh Barisan Nasional (BN) itu mempunyai bacaan tersendiri. Sama ada bacaan itu memihak kepada mereka atau sebaliknya, hanya pengundi-pengundi di situ tahu jawapannya.

Kuasa pengundi di Kuala Terengganu kini amat tinggi nilainya. 'Pembeli undi' iaitu parti-parti yang bertanding sanggup menawarkan apa sahaja termasuk harga yang tinggi untuk memastikan kemenangan menjadi milik calon masing-masing.

Namun bagi penduduk di kawasan itu, janji manis mungkin bukan nilai satu undi yang bakal dimasukkan ke dalam peti undi pada hari pengundian kelak. Nilai undi mereka semestinya melebihi paras janji.

Sebaliknya sejauh mana pembangunan fizikal dan rohani yang telah dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat sebelum ini semestinya menjadi kayu pengukur yang bakal menentukan hala tuju serta masa depan penduduk di situ.

Ketika tempoh berkempen tinggal tiga hari lagi, kesemua petugas pilihan raya bersengkang mata untuk memastikan kemenangan memihak kepada parti yang diwakili.

Tumpuan kempen kini amat berpusat kepada akar umbi dengan pendekatan memenangi hati rakyat diberi keutamaan oleh setiap calon yang bertanding.

Kawasan pengundi yang dibahagikan kepada tiga. Jika di awal tempoh berkempen tertumpu di tiga kawasan - hitam, kelabu dan putih - tetapi baki 72 jam menyaksikan pemusatan kempen di kawasan kelabu dan putih.

Pengundi tegar yang termasuk dalam kategori hitam tidak akan berganjak daripada pendirian masing-masing iaitu hanya satu calon di hati mereka. Dan sokongan mereka kepada calon berkenaan amat jelas, tidak berselindung dan diketahui umum.

Manakala pengundi di kawasan kelabu yang kebiasaannya dijernihkan daripada warna hitam menawarkan undi yang tidak kurang pentingnya.

Kumpulan ini yang juga dikenali sebagai pengundi atas pagar menjadi tumpuan parti-parti bertanding kerana mereka adalah faktor penentu kalah menang.

Hakikatnya kumpulan kelabu mempunyai bargaining power yang bukan sedikit. Kadang-kadang jika dituruti pun kemahuan mereka belum tentu undi akan memihak kepada parti yang berkenaan. Apatah lagi jika keperluan mereka tidak dipenuhi, sebab itu hati pengundi dalam kumpulan kelabu dijaga rapi dan disentuh secara amat berhati-hati.

Sebab itu tempoh tiga hari sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail 28 November lalu itu disifatkan sebagai amat genting kepada setiap calon yang bertanding.

Kegentingan itu berlaku terutamanya jika bacaan awal parti-parti menunjukkan kemenangan mungkin tidak memihak kepada mereka. Lantas tumpuan ke atas kawasan putih yang sebelum ini tidak dibimbangi akan ditingkatkan berkali ganda supaya kelak tidak terjadi seperti 'yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran'.

Satu fakta yang mungkin kurang diberi perhatian ialah pengaruh pengundi muda. Hakikat bahawa kemerosotan prestasi BN dalam Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu banyak dipengaruhi oleh undi pengundi muda yang sarat dengan idealisme sehingga boleh saja memberi kesan kepada pembentukan sebuah kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.

Perjuangan

Keadaan yang sama boleh saja berlaku di Kuala Terengganu kerana daripada 80,229 pengundi di situ, sebanyak 37,538 adalah pengundi muda yang aspirasi serta perjuangan mereka amat bertunjangkan darah muda sekali gus membuat keputusan mengikut mata dan bukannya akal.

Kebimbangan mengenai pengaruh pengundi kategori itu mesti diberi perhatian oleh BN agar pesona yang bakal ditunjukkan oleh pengundi muda di Kuala Terengganu tidak mengulangi sejarah pahit Mac 2008. Dan ia bukan sesuatu yang mustahil di sebalik kerja keras Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO mendekati kumpulan tersebut sepanjang berlangsungnya kempen.

Maklumat awal menunjukkan pengundi muda di Kuala Terengganu masih tercari-cari hala tuju. Oleh itu parti yang mampu mengisi kekosongan serta keinginan mereka yang dikatakan tidak begitu diberi perhatian sebelum ini mesti diambil kira oleh calon-calon yang bertanding.

Cabaran untuk memenangi hati pengundi muda juga amat berat didorong oleh keghairahan golongan yang bermindakan teknologi maklumat itu untuk percaya cerita-cerita yang dibaca di Internet.

Dengan penambahan dakyah-dakyah pembangkang, khabar yang belum dapat dipastikan kesahihannya itu meresapi minda pengundi muda sehingga boleh sahaja mempengaruhi keputusan mereka kelak.

Lebih daripada itu, kaedah mendekati generasi muda tidak boleh tertumpu kepada pengundi muda bangsa Melayu semata-mata kerana yang mengundi di Kuala Terengganu juga terdiri daripada belia pelbagai bangsa yang juga memerlukan perhatian kerajaan.

Apatah lagi pengaruh undi bukan Melayu menjadi faktor penentu kemenangan calon sama ada yang mewakili BN, pembangkang mahupun calon Bebas yang bertanding di Kuala Terengganu.

Dan jika selama ini kerajaan BN sememangnya menjalankan tanggungjawab memenuhi keperluan generasi muda di kawasan itu maka kebimbangan tidak mendapat sokongan mereka mungkin dapat diminimumkan.

Sebaliknya jika anak-anak muda di Kuala Terengganu berasa mereka tidak diberi perhatian termasuk dari aspek penyediaan kemudahan fizikal untuk aktiviti harian maka renung juga jawapannya.

Bagi pengundi muda, jika calon BN yang menjadi pilihan maka fikirkanlah kemudahan yang boleh didesak untuk diadakan pada masa depan jika ia tidak disediakan pada hari ini.

Tetapi sebaliknya jika pembangkang yang dipilih untuk menaungi kawasan Parlimen itu maka perbandingan boleh dibuat dengan kawasan-kawasan lain di bawah teraju pembangkang sejauh mana keperluan golongan muda diberi perhatian.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url