ISA: PKR wajar teliti pendirian Anwar semasa dalam BN (PRK K.Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN) mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyemak penyata-penyata sidang Parlimen bagi mengetahui pendirian sebenar Penasihat mereka dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung soal Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum mencabarnya di sini.

"Mereka harus lihat pada penyata-penyata sidang Parlimen masa Anwar jadi Timbalan Perdana Menteri (ketika berada dalam kerajaan).

"Jika dilihat, mereka tahu apa pendirian ketua mereka," kata Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika ditemui selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melawat Markas Peti Undi Pantai di sini lewat malam tadi.

Jelas Wan Ahmad Farid, adalah wajar pemimpin-pemimpin PKR melihat pendirian pemimpin tertinggi sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Anwar dipecat tahun 1998 dan kini merupakan Penasihat PKR.

Malah, Wan Ahmad Farid yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau telah menjawab isu berkenaan di Parlimen tahun lalu.

"Saya sudah jawab isu-isu ini, soal ISA ini di Parlimen," kata beliau sebelum menamatkan kempen hari ketiga pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu tengah malam tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua yang meminta Wan Ahmad Farid tengah hari semalam agar menjelaskan 10 perkara yang kontroversi di peringkat nasional ketika pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Salah satunya ialah berkaitan dengan penggunaan ISA.

Malah, Tian Chua juga meminta Wan Ahmad Farid memberikan sebab mengapa beliau menentang perhimpunan secara aman, hak rakyat untuk bersuara dan keperluan memperbaharui permit akhbar setiap tahun.

Antara permintaan yang lain ialah agar mendesak penubuhan suruhanjaya bebas siasat tatalaku polis, menyelesaikan isu imigran di Sabah, membekukan pengambilan pekerja asing dan meningkatkan bayaran royalti minyak.

- mstar
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url