Kenapa prejudis kehadiran polis? (PRK Kuala Terengganu)

Salah satu isu yang kini semakin dimainkan oleh Pas ialah mengenai kehadiran kira-kira 6,000 anggota polis bagi mengawal keselamatan sepanjang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung pada 17 Januari ini.

Pelbagai tafsiran malah ada yang berbentuk tuduhan dibuat biarpun Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sudah pun menjelaskan berkali-kali bahawa kehadiran pasukan itu hanyalah untuk memastikan pilihan raya berkenaan berjalan lancar tanpa diganggu gugat oleh sebarang ancaman keselamatan.

Tetapi malangnya, pembangkang tidak pernah mahu memikirkan fakta tersebut sebaliknya mereka melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan kehadiran ramai anggota polis ke Kuala Terengganu.

Awal-awal lagi mereka memainkan sentimen kononnya ada penduduk yang tidak senang dengan perkembangan itu termasuklah dalam soal kedudukan pondok-pondok polis bagi menjaga keselamatan.

Sebenarnya, inilah sikap pembangkang, mereka akan berusaha mempolitikkan apa sahaja isu hatta dalam soal keselamatan sekalipun. Mereka tidak mempedulikan hakikat bahawa apa yang dilakukan adalah bagi memastikan pilihan raya kecil berkenaan yang menjadi tumpuan seluruh negara tidak dicemari dengan sebarang kejadian tidak diingini.

Pihak polis hadir ke Kuala Terengganu kerana mereka tidak mahu keganasan yang tercetus di Permatang Pauh berulang. Jika itu terjadi lagi siapakah yang akan dipersalahkan?

Sudah tentulah pembangkang akan 'menjerit' menuduh bahawa ia terjadi kerana kegagalan pihak polis mengawal keselamatan.

Tetapi apabila pihak polis mengambil langkah awal dengan menghantar jumlah secukupnya bagi sebuah pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu mereka curiga pula.

Mereka menuduh bahawa ada anggota polis menyamar menjadi penyokong Pas ketika penamaan calon dan mendakwa jumlah yang ramai itu kononnya mencetuskan kebimbangan akan berlakunya provokasi.

Dalam soal ini Pas seharusnya matang berpolitik, mereka bertarung dengan Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu bukannya dengan polis.

Anggota polis yang hadir hanya menjalankan tugas dan sanggup mengorbankan tenaga dan masa demi memastikan keselamatan semua pihak sepanjang pilihan raya berlangsung terjamin.

Kenapa kehadiran anggota-anggota berkenaan yang ada antara mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga sejak beberapa minggu lalu harus dicemburui dan dilemparkan pelbagai tuduhan?

Tidakkah pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempertikaikan kehadiran polis memahami bahawa ketika mereka berbuat demikian, anggota pasukan itu tetap setia melaksanakan tugas hatta di tempat ceramah Pas sekalipun untuk menjaga keselamatan.

Malah pemimpin pembangkang harus memahami ketika mereka sedang nyenyak dibuai mimpi selepas seharian berkempen ada antara polis yang bersengkang mata menjaga keselamatan termasuklah memastikan poster-poster parti itu tidak disabotaj oleh pihak yang sengaja ingin mencetuskan kekacauan.

Oleh itu hargailah kehadiran polis. Jangan terlalu prejudis dengan pengorbanan anggota-anggota keselamatan kita. Mereka berkhidmat untuk negara tanpa sebarang sentimen kepartian.

Kalaupun tidak ada isu bagi meraih undi, tindakan membangkitkan prasangka terhadap kehadiran anggota polis yang ramai bukanlah satu perbuatan yang bijak, sebaliknya hanya menampakkan sikap tidak matang dalam berpolitik.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url