Peniaga Kuala Terengganu ibarat dapat 'durian runtuh'

'Durian runtuh' mungkin itulah istilah paling sesuai untuk menggambarkan bagaimana Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu memberikan rezeki kepada penduduk-penduduknya.

Selain hotel-hotel yang penuh ditempah, rumah-rumah sewa pula meningkat berkali-kali ganda. Jika kebiasaannya sebuah rumah sewa di sekitar bandar raya itu disewa dalam kadar antara RM300 hingga RM1,000 tetapi ia meningkat sehingga RM6,000 bagi tempoh dua minggu.

Kebanyakan rumah sewa ini dihuni oleh pekerja-pekerja parti dan ada antaranya turut menempatkan mereka yang bergelar Yang Berhormat. Sebelum memasuki rumah itu, penyewa disyaratkan membayar sepenuhnya kadar yang ditetapkan.

Tarikan utama makanan Terengganu iaitu keropok lekor turut mendapat perhatian pengunjung-pengunjung yang datang daripada luar. Justeru tidak hairanlah jika peniaga-peniaga makanan tersebut mendapat rezeki berlipat kali ganda berbanding hari biasa.

Kawasan yang menjadi tumpuan sudah tentulah Losong yang cukup terkenal dengan keropok lekor losong. Jika sebelum ini pada awal tahun jualan agak lembap tetapi pada tahun ini ia berbeza berikutan pilihan raya yang diadakan.

Seperkara lagi, walaupun kebanyakan pekerja-pekerja parti dari luar Terengganu datang dengan memandu kenderaan sendiri namun perniagaan kereta sewa tetap mendapat sambutan yang dianggap luar biasa.

Sudah menjadi adat, kalau permintaan tinggi maka harga pun meningkat, begitulah juga dengan perniagaan sewa kereta. Ada di antara mereka yang sebelum ini mengenakan RM120 sehari mengikut jenis kereta, kini ia meningkat sehingga RM200 sehari. Turut mendapat permintaan ialah kereta-kereta mewah.

Semua senario yang dipaparkan ini jelas menunjukkan bahawa pilihan raya kecil yang diadakan telah meningkatkan pendapatan penduduk Terengganu terutamanya golongan peniaga.

Biarpun senario ini hanya sementara namun ia tetap merupakan satu rezeki yang cukup menggembirakan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url