Kerajaan BN utamakan kepentingan rakyat - Najib (PRK Kuala Terengganu)

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak perlu menggunakan label negara kebajikan kerana pimpinan negara telah melaksanakannya sejak memerintah.

Beliau berkata sudah menjadi tradisi kerajaan memberi tumpuan kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan.

Najib berkata sejak daripada seseorang itu "lahir sehingga ke liang lahad", kerajaan BN menjadi pembela rakyat.

"Ada pihak kata nak perjuangkan kebajikan dalam pilihan raya dulu. Mula-mula dia main isu hudud lepas itu dia senyap, dapat kawan baru timbul pula negara kebajikan kononnya nak perjuangkan kebajikan.

"Di Malaysia daripada kita lahir sampai masuk ke liang lahad boleh dikatakan setiap detik dalam kehidupan kita banyak pertolongan dan bantuan yang diberi kerajaan," katanya ketika merasmikan Program Cakna Rakyat di SMK Seri Nilam di sini, Ahad.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

Najib berkata Malaysia sememangnya negara kebajikan kerana kerajaan BN sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

"Tak payahlah nak kata kita ini negara kebajikan, tak payah buat label kerana hakikatnya kita memang sudah negara kebajikan. Tak payah nak kata nak perjuangkan negara kebajikan kerana Malaysia di bawah pimpinan Abdullah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) amat-amat cakna kepada kepentingan rakyat," katanya. Najib berkata dalam memastikan usaha membantu golongan sasar lebih berkesan, kerajaan mewujudkan Jaringan Keselamatan Sosial yang merupakan satu lonjakan kepada dasar kerajaan dalam membantu golongan miskin dan memerlukan bantuan.

Katanya program 'cari-cari' yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di mana pegawai kementerian turun padang mencari rakyat yang memerlukan bantuan dan membantu mereka, adalah amat berkesan.

"Dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan ini, sasaran kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2010, Insya-Allah, akan tercapai," katanya.

Beliau turut menolak cakap-cakap bahawa kerajaan mempunyai maksud tersirat atau cuba 'memancing undi' setiap kali memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Siapa boleh kata kerajaan tidak cakna rakyat dan tidak prihatin. Siapa kata ini politik beli undi? Bila kerajaan umumkan program jaringan Keselamatan Sosial ini, jauh lebih awal dan kerajaan tak tahu pun akan berlaku pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini," katanya.

Najib berkata rakyat perlu faham bahawa kerajaan tetap akan memberikan bantuan walaupun tidak ada pilihan raya kecil Kuala Terengganu di mana program membantu rakyat yang telah dirancang akan tetap dilaksanakan.

"Mungkin tak adalah majlis besar macam ni. Betul, sambil menyelam kita minum air, kita nak perkenalkan calon kita ni. Tak bolehlah nak salahkan kita.

"Yang penting, nawaitu kita, kita nak tolong rakyat, semua golongan yang perlukan bantuan akan dapat bantuan dan tak akan ada siapapun yang terkecuali," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk terutama yang sukar untuk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan kekeluargaan.

Klinik Bergerak menyediakan khidmat, antaranya, Pemeriksaan Jisim Berat Badan, Pemeriksaan Tekanan Darah, Perkhidmatan Perancang Keluarga, Saringan Pap Smear, Kaunseling kekeluargaan.

- mstar
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url