Mutu Radio Manis FM dipertingkatkan

Stesen radio swasta, Manis FM yang sudah berusia 10 tahun kini sedang berusaha meletakkan kedudukannya sebagai sebuah stesen unggul di Pantai Timur walaupun berdepan dengan banyak saingan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Husein Ahmad berkata, mutu siarannya telah mula dipertingkatkan awal bulan ini bagi membolehkannya didengar dengan jelas dan meluas di tiga buah negeri.

‘‘Ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu lagi melalui pelaburan yang dilakukan bagi memastikan ia dapat bergerak sering dengan tuntutan semasa,” ujarnya.

Berkonsepkan radio komuniti untuk semua, siaran yang boleh didengar di selatan Thai itu dilengkapi dengan peralatan canggih di konti dan setanding dengan stesen-stesen radio terkemuka di peringkat nasional.

‘‘Kami tidak takut dengan persaingan dan Manis FM tidak berteraskan perniagaan semata-mata, ia mempunyai tanggungjawab sosialnya sebagai media masyarakat,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sesi perjumpaan dengan media di stesen Manis FM di sini hari ini yang merupakan pendekatan awal dalam usaha mempromosikan stesen itu dengan lebih meluas.

Katanya, stesen radio swasta tunggal di Pantai Timur itu digerakkan oleh 25 kakitangan termasuk 14 penyiar dengan kelompok pendengar yang pelbagai melalui enam segmen yang diketengahkan.

‘‘Kami juga buat pertama kalinya akan mengupas khabar-khabar angin melalui siaran kapsul Blog Pak Leh yang saya sendiri akan kendalikan,” ujarnya.

Ia boleh didengari melalui frekuensi 90.6 mhz (Kelantan), 102 mhz (Terengganu) dan 95.1 mhz (Pahang) di samping melalui sistem radio online yang diambil terus daripada konti tanpa melalui gelombang radio.

Ia dikendalikan oleh Husa Network Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 20 Jun 1998 dan mulai beroperasi pada 1 Januari 1999 di sebuah premis perniagaan di Jalan Kebun Sultan dengan menyewa peralatan siaran buat permulaan.

Lima tahun kemudian, Manis FM mula mengembangkan sayapnya setelah mendapat sebilangan besar pendengar di negeri ini yang menjadikan stesen ini sebagai medium hiburan dan maklumat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url