Obama tidak ubah dasar luar AS terhadap Israel - Dr. M

Bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang akan menggantikan George W. Bush tidak lama lagi dijangka tidak mengubah dasar luar negara itu terhadap Israel kerana beliau masih memerlukan sokongan Yahudi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada mana-mana calon dalam pilihan raya Amerika yang berani menafikan sokongan kepada Israel kerana kaum Yahudi merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon Presiden.

Beliau berkata, Obama dijangka mengundurkan tentera Amerika dari Iraq dan Afghanistan tetapi akan tetap memberi sokongan kepada kaum Yahudi di Israel.

''Saya tidak rasa akan ada perubahan dalam dasar luar Amerika kepada Israel, Obama sendiri pergi ke Israel untuk mendapatkan sokongan kerana terdapat ramai Yahudi di Amerika.

''Bakal pemimpin nombor dua Amerika Syarikat, Joe Biden pula pernah berkata secara terbuka bahawa walaupun dia bukan seorang Yahudi tetapi dia adalah penyokong Zionis," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, Obama bagaimanapun merupakan Presiden Amerika Syarikat yang lebih baik jika dibandingkan dengan Bush yang akan berundur tidak lama lagi.

''Beliau (Obama) merupakan pilihan terbaik daripada kalangan yang tidak baik," katanya.

Dr. Mahathir berkata, walaupun kongres Amerika dianggotai oleh golongan terpelajar tetapi mereka masih membenarkan keganasan oleh Israel ke atas Palestin.

''Negara yang menjadi polis dunia kini telah membunuh dan merompak. Seseorang perlu bersuara kerana jika kita berdiam diri keadaan akan bertambah teruk.

''Perang moden merupakan sejenis pembunuhan besar-besaran dan dilakukan dengan tidak adil kerana tiada peluang untuk negara lemah menghadapi serangan kuasa besar seperti Amerika," katanya.

Dr. Mahathir berkata, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) didapati gagal memainkan peranan untuk menghentikan kekejaman Israel kerana badan itu telah dikuasai Amerika Syarikat.

'' PBB sebelum ini tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghentikan perang ke atas Iraq kerana Amerika mahu teruskan kepentingannya di situ," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url